40 maut dalam serangan udara pusat tahanan migran tanpa dokumen

Satu serangan udara terkena pusat tahanan migran tanpa dokumen di Libya menyebabkan 40 maut manakala 80 lagi cedera. (Gambar Facebook)

TRIPOLI: Satu serangan udara yang terkena sebuah pusat tahanan bagi migran tanpa dokumen berhampiran ibu negara Libya, Tripoli, menyebabkan sekurang-kurangnya 40 orang maut, lapor agensi berita Sputnik memetik laporan Reuters.

Menurut Reuters yang memetik kenyataan seorang pegawai kesihatan, sekurang-kurangnya 80 orang lagi cedera dalam serangan udara itu.

Butiran lanjut berkaitan insiden itu belum diketahui.

Sementara itu, seorang wakil perkhidmatan perubatan Tripoli mengesahkan pada Rabu bahawa serangan udara ke atas pusat tahanan bagi migran tanpa dokumen tersebut menyebabkan sekurang-kurangnya 40 orang maut dan 80 lagi cedera.

Akibat serangan udara di daerah Tajoura itu, 40 migran dari pelbagai negara Afrika terbunuh manakala 80 lagi cedera,” kata Malek Merset kepada Sputnik.

Beliau berkata perkhidmatan ambulans terus menyediakan bantuan yang diperlukan kepada mangsa yang cedera.