
PETALING JAYA: Menteri perpaduan nasional, P Waytha Moorthy hari ini menyertai debat berhubung pengenalan tulisan jawi di sekolah vernakular dengan berkata, pengajaran khat jawi di sekolah Tamil tidak realistik dan tidak perlu.
Beliau dilaporkan berkata, kerajaan sebaliknya perlu mencari jalan untuk mengurangkan beban murid, selain meneroka kemahiran lain, seperti pemprograman komputer, yang perlu dipelajari dan menangani masalah pengangguran dalam kalangan graduan.
Menurut Malaysiakini, beliau juga mendakwa ramai menteri lain yang tidak bersetuju dengan keputusan Kementerian Pendidikan memperkenalkan tulisan khat dalam silibus Tahun 4 di sekolah vernakular bermula tahun depan.
Susulan bantahan kumpulan pendidikan Cina dan Tamil serta ahli DAP, kementerian itu berkata, hanya 3 muka surat buku teks Bahasa Melayu Tahun 4 diperuntukkan bagi tulisan khat tahun depan daripada 6 sebelum itu. Ia juga dijadikan aktiviti pilihan.
Persatuan pendidikan Cina, Dong Zong, dengan sokongan kumpulan pendidikan Tamil, bagaimanapun melancarkan satu petisyen terbaru membantah pengajaran tulisan khat atas alasan ia digunakan sebagai medium untuk menyebarkan Islam.