PUTRAJAYA: Belum ada kerjasama membanteras pemerdagangan harimau untuk ubat-ubatan dan perhiasan di peringkat Asean kerana haiwan itu sudah pupus di banyak negara serantau, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Xavier Jayakumar
Ditemui sempena kempen Selamatkan Harimau Malaya hari ini, beliau bagaimanapun memaklumkan suatu mesyuarat peringkat Asean akan diadakan pada Mei tahun depan, selain penganjuran forum berkenaan harimau, “World Tiger” di Malaysia.
“Sebab di Asean tidak ada harimau di Vietnam, Laos dan Kemboja. Semua sudah pupus,” katanya pada sidang media sempena Hari Harimau Global 2019.
“Di Thailand pun mereka tak berapa tahu ada ke tidak, tetapi di ada beberapa ekor di utara Myanmar dan Thailand. Kebanyakan pemburu datang (ke Malaysia) mahu musnahkan (baki) 200 ekor yang ada di sini,” tambahnya.
Turut menyertai sidang media hari ini adalah Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador yang mengumumkan kesediaan polis membantu Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli melindungi harimau.
Hamid berkata polis memperuntukkan satu batalion seramai 500 orang daripada Pasukan Gerakan Am dari Batalion Bidor, yang terkenal dengan kemahiran menjejaki komunis dalam hutan untuk usaha itu.
“Kita mempunyai satu lagi batalion berjumlah 500 orang dalam keadaan berjaga-jaga,” tambahnya.
Hamid berkata polis dimaklumkan tentang bahaya yang dihadapi anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) menghadapi pemburu-pemburu asing, dan memaklumkan PGA terlibat diberi motivasi untuk menangani ancaman itu.
“Selama ini saya dengar amat tercabar sekali tugasan mereka di hutan. Nyawa mereka diancam kumpulan pemburu haram dari luar negara yang begitu berani dan ganas,” katanya.
Di samping itu, polis juga akan melatih anggota Perhilitan dalam penggunaan senjata api dan penyediakan tatacara operasi standard untuk berdepan pemburu berbahaya.
“Kita akan guna kuasa untuk menembak mereka jika ada keperluan. Begitulah tanda sokongan saya,” katanya.
Hamid juga mempunyai motivasi tersendiri untuk melindungi harimau Malaya, yang dipercayai hanya tinggal kurang daripada 200 ekor di seluruh negara.
“Ini di kepala saya lambang harimau,” katanya, merujuk kepada lambang polis yang memaparkan kepala harimau, berlatarkan keris dan parang ilang.
Harimau melambangkan ketangkasan menghadapi musuh, sementara keris melambangkan Semenanjung dan parang ilang melambangkan Sabah dan Sarawak.