
LONDON: Britain merancang untuk memperkenalkan kuarantin wajib 14 hari membabitkan kebanyakan ketibaan antarabangsa, menurut satulaporan pada Sabtu, sewaktu tekanan meningkat supaya kerajaan supaya melonggarkan perintah sekatan berkait Covid-19.
Ia berikutan langkah negara itu, yang merekodkan angka kematian koronavirus kedua tertinggi di dunia selepas AS, berhati-hati merangka hala tuju baru selepas melaksanakan perintah duduk di rumah yang ketat pada akhir Mac.
Selain mereka yang memasuki negara itu dari negara jiran Ireland, orang ramai yang masuk ke Britain melalui udara, laut dan kereta api akan diwajibkan mengasingkan diri selama 2 minggu, lapor The Times.
Akhbar itu melaporkan peraturan baru itu akan dilaksanakan dengan melakukan pemeriksaan mengejut di alamat yang diberikan pelancong, dengan kemungkinan hukuman, termasuk denda sehingga £1,000 (RM5,380) atau deportasi.
Ia berkata perdana menteri Boris Johnson akan mengumumkan langkah itu pada Ahad.
BBC melaporkan kuarantin selama 2 minggu itu akan dilaksanakan pada akhir Mei, dengan menyebut sumber kerajaan dan badan industri penerbangan UK Airlines.
Menjelang pengumuman Johnson di televisyen pada hujung minggu ini, kerajaan memberi amaran supaya tidak mengharapkan perubahan besar ke atas sekatan pergerakan koronavirus di seluruh negara.
Kerajaan merancang untuk membuka kembali taman dan perpustakaan, namun berkata sekatan pergerakan yang lebih luas akan kekal selama 3 minggu lagi.
Lebih 31,000 orang yang disahkan positif koronavirus meninggal dunia di Britain.