Elak kecurian, orang muda cipta motor imbas cap jari

Teknologi kini semakin canggih mengikut peredaran zaman.

Meskipun dalam bidang pekerjaan, kita lebih banyak menggunakan mesin daripada tenaga kerja yang dikerah daripada manusia.

Ia menjadi lebih mudah dan pantas menggunakan mesin yang dicipta, sementara manusia hanya perlu menyelenggara mesin tersebut supaya berada dalam keadaan yang baik.

Teknologi tersebut kini diadaptasi dalam kenderaan pula yang sebelum ini digunapakai untuk kereta, hanya menekan sahaja butang “start” dan kereta boleh terus bergerak.

Untuk motor, teknologi canggih turut diadaptasi dengan mencipta sistem imbasan cap jari untuk menghidupkan sesebuah motosikal.

Ia bertujuan bagi mengelakkan motor dicuri oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Teknologi ini dicipta pelajar Kelantan, Wan Amiruddin Wan Amran, 19, dan Adeeb Aideen Mat Yusof, 19, dengan memberi nama teknologi itu “fingerprint bike starter”.

Menurutnya, mereka mengambil masa enam bulan untuk mencipta sistem itu termasuk membina prototaip dan mengujinya pada motosikal yang menggunakan penghidup elektrik.

“Selain motosikal, sistem ini juga boleh dipasang pada kereta yang menggunakan butang elektronik,” katanya dipetik media.

Difahamkan kedua-dua mereka membelanjakan kira-kira RM500 untuk mencipta sistem berkenaan.

Adeeb Aideen pula berkata, ciptaan mereka menggunakan perisian Arduino yang dilengkapi sistem rakaman suara dan paparan kristal cecair (LCD) dengan perkakasan elektronik seperti alat pengimbas jari yang didapati dari luar negara.

“Sistem ini sukar untuk diceroboh dan motosikal yang dipasangkan “fingerprint bike starter” hanya boleh dihidupkan dengan kesepadanan cap jari pemilik atau jari individu yang direkod dalam sistem sahaja.

“Setiap ‘fingerprint bike starter’ boleh menyimpan 127 kod cap jari dalam sistem pemasangan,” katanya.

Tambahnya, mereka kini sudah pun menerima tempahan memasang sistem keselamatan itu dalam kalangan pelajar dan pensyarah kolej.

Sumber : Sinar Harian

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday.com