KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi Azimah Omar mahu bertemu Lim Kit Siang dan bekas ketua polis negara Hanif Omar dengan kehadiran peguam mereka sebagai pengantara berhubung penyelesaian luar mahkamah berhubung saman fitnah oleh pemimpin DAP, FMT difahamkan.
Peguam utama Lim, Ramkarpal Singh berkata hakim itu ingin membuat cubaan terakhir untuk mencari satu penyelesaian tanpa perlu menjalani perbicaraan.
“Lim dan Hanif diminta hadir pada pengurusan kes seterusnya pada pukul 2.30 petang pada 28 Ogos,” kata Ramkarpal kepada FMT.
Lim diwakili Rayveni Asogan dalam pengurusan kes di depan Azimah hari ini.
Ramkarpal berkata, pihak terbabit cuba mencari penyelesaian sejak sebulan lalu dengan arahan Azimah, tetapi ia gagal.
“Kami mengemaskini kepada hakim tetapi dia mahu membuat cubaan terakhir melalui pengantaraan, kerana tarikh perbicaraan akan ditetapkan,” kata Ramkarpal.
Lim memfailkan saman itu pada 17 Oktober tahun lepas, mendakwa Hanif, ketika berucap pada konvensyen “Karamah Bangsa” di Universiti Teknologi Mara di Shah Alam pada 6 Sept, menuduh Lim berniat mengarahkan DAP untuk memisahkan atau membahagikan Semenanjung Malaysia kepada 2 bahagian berdasarkan kaum dan berniat untuk memecahkan kaum Melayu dan Cina.
Lim juga mendakwa kenyataan itu diterbitkan di Sinar Harian.
Dalam pernyataan tuntutannya, ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, Hanif juga secara salah dan berniat jahat menyebabkan kata-kata fitnah itu disiarkan di dalam portal berita Malaysiakini dan Free Malaysia Today pada hari sama (6 Sept) dan keesokannya.
Lim turut mendakwa kata-kata fitnah itu menyebabkan reputasinya selaku ahli Parlimen dan orang kenamaan terjejas.
Beliau juga mendakwa satu surat bertarikh 12 Sept dihantar supaya defendan menarik balik kata-kata fitnah serta memohon maaf, namun peguam defendan menjawab surat berkenaan dan menafikan kata-kata fitnah itu terhadap plaintif.
Oleh itu, plaintif menuntut defendan mengemukakan permohonan maaf dan menarik balik kata-kata fitnah itu selain menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan serta satu perintah injunksi bagi menghalang defendan atau ejennya daripada mengulangi atau menerbitkan semula kata-kata fitnah berkenaan.