Kadir Jasin terkejut bagaimana projek kondo Taman Desa diluluskan

Sebahagian lantai kolam renang di tingkat 6 kondominum setinggi 37 tingkat yang dalam pembinaan di Taman Desa, Jalan Klang Lama, runtuh pada Jumaat lalu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Wartawan veteran, A Kadir Jasin tertanya-tanya bagaimana datuk bandar Kuala Lumpur memberi kelulusan untuk pembinaan kondominium di Taman Desa yang runtuh Jumaat lalu.

Katanya, pembinaan kondominium bertingkat tinggi itu tidak patut dibenarkan kerana ia terletak di kawasan berkepadatan tinggi dan antara beberapa blok kondominium lain serta 2 sekolah.

“Saya terkejut bagaimana datuk bandar boleh meluluskan projek berkepadatan tinggi itu di kawasan berkenaan,” katanya dalam catatan Facebook sebagai respons terhadap satu laporan FMT.

Terdahulu, peguam hartanah Salkukhairi Abd Sukor mencadangkan pembeli kondominium bagi projek Taman Desa di Jalan Klang Lama itu diberikan pilihan membatal atau meneruskan perjanjian pembelian mereka.

Beliau turut menyarankan bank menggantung pembayaran balik pinjaman oleh pembeli kerana lesen jualan pemaju sudah digantung.

Jumaat lalu, sebahagian daripada lantai kolam renang dalam pembinaan di tingkat 6 kondominum itu runtuh dan arahan berhenti kerja sudah dikeluarkan kepada kontraktor.

Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, lesen jualan pemaju bagi kondominium 37 tingkat itu digantung sehingga siasatan selesai.

Kadir yang juga penasihat media dan komunikasi kepada perdana menteri, menyuarakan kebimbangannya terhadap sebuah lagi projek yang dijalankan di tepi sebuah lombong dedah berdekatan kondominium runtuh itu.

Katanya, pemaju mula menebang pokok di sekitar lombong “sangat dalam” itu.

“Cuba bayangkan apa akan berlaku jika tanah runtuh. Tolong kaji perkara ini datuk bandar,” katanya merujuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.