Kenapa baru dedahkan tembakan di pejabat Umno 2 tahun lalu, Muhyiddin soal Najib

Lubang peluru yang ditemui di tingkap bangunan Umno Bahagian Pekan di Jalan Teng Quee, Pekan pada November 2017.

MUAR: Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin hari ini mempersoalkan motif Najib Razak baru mendedahkan dirinya menjadi sasaran penembak tepat di Pekan pada 2017.

Beliau berkata, kenapa perkara itu dibangkitkan sekarang, sedangkan beliau ialah perdana menteri ketika kejadian terbabit berlaku 2 tahun lalu.

“Jika ada peristiwa ditembak sniper atau sesiapa pun, apa perdana menteri dan polis buat (ketika itu)?

“Jika itu satu perbuatan yang agaknya berniat jahat, ia bukan perkara main-main dan sepatutnya mereka memandang berat waktu itu dan minta pihak berkuasa di bawah kekuasaan beliau sebagai perdana menteri untuk buat siasatan,” kata ahli Parlimen Pagoh itu selepas Majlis Penyerahan Lembu Korban Parlimen Pagoh di sini, hari ini.

Beliau berkata, jika benar laporan polis dibuat ketika itu, sudah tentu kerajaan tidak akan memandang ringan kejadian membabitkan pemimpin negara.

“Siasatan segera perlu dilakukan bagi mengenal pasti siapa dalang yang terbabit. Pada waktu itu bukan Pakatan Harapan yang memegang kerajaan, kami di sebelah pihak pembangkang.”

Baru-baru ini, ahli Parlimen Pekan itu berkongsi insiden itu ketika berucap di “Wacana Ilmu: Hard Truth: Cash is King” di Kuala Lumpur dengan mendakwa tembakan itu disasarkan di tepi cermin bilik pejabatnya di tingkat 5 bangunan Umno Bahagian Pekan pada November 2017.

Hari ini, Najib memuat naik salinan laporan polis dan gambar lubang peluru di tingkap bangunan Umno di Jalan Teng Quee, Pekan.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga presiden PPBM tidak menolak kemungkinan ada kalangan ahli parti yang sengaja menyebar fitnah mengenai Menteri Besar Johor, Dr Sahruddin Jamal akan meletak jawatan.

“Saya anggap penyebaran berita palsu itu sebagai satu perbuatan jahat.

“Kenapa dia nak letak jawatan, dia baru dilantik dan sedang menjalankan tugas dengan baik. Ini semua fitnah untuk mengelirukan masyarakat. Perbuatan jahat yang mungkin ada kumpulan iri hati dan tak berpuas hati. Tapi saya nak nyatakan itu adalah perkara yang tidak benar sama sekali.”

Baru-baru ini, satu kenyataan yang tersebar di Facebook mendakwa Sahruddin akan melepaskan jawatan menteri besar.