Majlis Presiden PH akan bincang agihan kerusi bagi PRN Sarawak, kata Muhyiddin

Muhyiddin Yassin mengadakan sidang media di Kuching hari ini sambil ditemani Timbalan Ketua Polis Negara, Mazlan Mansor.

KUCHING: Majlis Presiden Pakatan Harapan akan membincangkan pengagihan kerusi bagi pilihan raya negeri Sarawak ke-12, kata Muhyiddin Yassin.

Presiden PPBM itu berkata, beliau sudah memaklumkan Pengerusi PH Sarawak, Chong Chieng Jen mengenai perkara itu akan dibincangkan dalam kalangan parti komponen PH di peringkat persekutuan.

“Kami perlu membincangkan pengagihan kerusi dan kerusi mana yang mereka fikir sesuai untuk kami (PPBM) tandingi,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, sumber dilaporkan berkata, PPBM Sarawak meminta 15 kerusi majoriti Melayu-Melanau daripada PKR dan Amanah negeri menjelang PRN Sarawak yang dijangka diadakan hujung tahun depan atau awal 2021.

Sumber itu turut mendakwa Presiden PKR, Anwar Ibrahim mengarahkan parti negeri itu membincangkan pengagihan kerusi dalam mesyuarat PH Sarawak, bukannya membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat Majlis Presiden PH di peringkat persekutuan.

Ditanya berapa banyak kerusi yang akan ditandingi PPBM nanti, Muhyiddin berkata: “Kami masih memikirkan jumlah itu.”

Sementara itu, katanya, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia sudah meluluskan penubuhan 6 bahagian PPBM di Santubong, Stampin, Sri Aman, Saratok, Kota Samarahan dan Bintulu.

“Kami akan tubuh 6 lagi bahagian, menjadikannya 12 bahagian. Kami tidak tergesa-gesa menubuhkan cawangan di semua 31 bahagian kerana Sarawak ialah negeri besar.”