Penduduk Wuhan bersesak di klinik mungkin jadi punca penularan semula Covid-19

Pekerja berbaris untuk memudahkan petugas perubatan melakukan ujian swab Covid-19 di sebuah kilang di Wuhan semalam. (Gambar AP)

WUHAN: Ketika Wuhan mengadakan kempen ujian berskala besar, segelintir penduduk yang memenuhi pusat ujian menyatakan kebimbangan pada Sabtu di mana langkah itu mendedahkan mereka kepada Covid-19.

Keselamatan menjadi topik hangat kumpulan media sosial 11 juta penduduk Wuhan, kata orang ramai kepada Reuters ketika mereka berkumpul di kawasan ujian terbuka di klinik dan kemudahan lain. Namun, ramai yang berkata mereka menyokong kempen sukarela.

Pihak berkuasa kesihatan Wuhan kembali bertindak selepas mengesahkan kluster jangkitan baru di pusat bandar raya China, hujung minggu lalu, sejak ia bebas sekatan pergerakan pada 8 April.

Kes baru itu – semuanya adalah mereka yang sebelum ini tidak menunjukkan gejala penyakit itu – mendorong pihak berkuasa Wuhan melancarkan pencarian pembawa tanpa gejala virus itu di seluruh bandar, bertujuan untuk mengukur tahap risiko Covid-19.

“Beberapa orang menyatakan kebimbangan dalam kumpulan (media sosial) mengenai ujian berkenaan, yang mewajibkan orang ramai untuk berkumpul, dan sama ada terdapat sebarang risiko jangkitan,” kata seorang penduduk Wuhan yang meminta dirahsiakan namanya.

“Tetapi yang lain membantah kebimbangan itu, mengatakan komen seperti itu tidak menyokong kerajaan.”

Skala pengujian yang belum pernah berlaku sebelum ini menunjukkan tahap keprihatinan rasmi, kata beberapa pakar. Yang lain berkata ia adalah langkah yang sangat mahal dan mempersoalkan keberkesanannya.

Di sebuah kiosk ujian di daerah Jianghan di tengah Wuhan, seorang sukarelawan melakukan rondaan dan menyembur bahan penyahjangkit kepada orang ramai yang beratur dalam barisan yang panjang.

Ramai orang yang mematuhi penjarakkan sosial, seperti beratur 1 meter, dan terdapat papan tanda untuk mengingatkan mereka. Namun masih ramai yang tidak mematuhinya. Dalam beberapa kes, pekerja sukarela menegaskan orang ramai tidak mematuhinya.

Di kiosk ujian terbuka yang lain, di mana swab tekak diambil, pelekat kuning dan hitam yang diletakkan di tanah menghalang orang ramai daripada berkumpul.

Tetapi di belakang barisan yang panjang, kira-kira 40 orang berkumpul tanpa panduan pegawai atau sukarelawan.

Penduduk berkata pihak berkuasa belum memberitahu bila mereka akan mendapat keputusan ujian mereka.

China mengesahkan 82,941 kes Covid-19 pada Jumaat dan 4,633 kematian. Kerajaan tidak menyenaraikan orang yang dikenal pasti sebagai pembawa virus tanpa gejala dalam statistiknya dan tidak menerbitkan angka kumulatif kes tanpa gejala.