
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim keluar dari Dewan Rakyat kerana tidak berpuas hati dengan penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa berhubung Rang Undang-undang Profesion Guaman Syarie (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2019.
Sebelum meninggalkan dewan, beliau beberapa kali ditegur Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming tidak mengganggu penggulungan Mujahid mengenai RUU itu.
Tetapi, Shahidan mendakwa Mujahid tidak arif dan tidak menjawab beberapa pertanyaannya.
“Yang berhormat, saya protes kerana menteri memperlekehkan saya dan menuduh saya tak faham. Dengan ini saya protes, saya keluar sekarang,” kata bekas menteri itu.
Terdahulu, Nga mengingatkan Shahidan supaya tidak bercakap kasar.
“Jangan guna ayat seperti kepala bapak atau sebagainya,” katanya sambil meminta Shahidan keluar dewan atas kerelaan sendiri.