Syarikat penerbangan muflis naik mendadak, diramal makin serius

Syarikat pengembaraan Thomas Cook yang muflis baru-baru ini. Bilangan syarikat yang muflis meningkat dengan pantas tahun ini. (Gambar AP)

PARIS: Bilangan syarikat penerbangan muflis meningkat pada kadar paling pantas tahun ini, termasuklah kegagalan Jet Airways India, Thomas Cook dan Avianca dari Brazil, menurut data industri dikeluarkan semalam.

“2019 telah melihat pertumbuhan tercepat dari segi kegagalan syarikat penerbangan dalam sejarah,” kata firma perunding syarikat penerbangan IBA, yang telah mengesan bilangan pesawat yang dikembalikan kepada pihak menyewakan atau pentadbir iaitu 17 syarikat mengalami kerugian tahun ini.

Kemungkinan banyak lagi kes akan menyusul ekoran persaingan khidmat kos rendah dan harga bahan api lebih tinggi, diburukkan lagi oleh nilai dolar makin kukuh, menyukarkan mereka yang menjual tiket penerbangan dalam euro atau pound dan membeli minyak dan pesawat dalam mata wang AS.

“Suku terakhir tahun ini akan menyaksikan lebih banyak kegagalan semasa musim sejuk di hemisfera utara,” kata Phil Seymour, ketua pegawai eksekutif IBA dalam satu temu bual.

Pesawat-pesawat AS diselamatkan oleh “lindung nilai semula jadi” hasil dolar, kata beliau.

Pada masa sama kebankrapan juga telah mewujudkan peluang bagi syarikat penerbangan yang kukuh untuk mengambil alih pesawat, trafik dan slot lapangan terbang ditinggalkan pesaing gagal.

Syarikat penerbangan lain yang gagal pada 2019 termasuklah Aigle Azur dan XL Airways, Germania, Flybmi dan Adria dari Perancis, yang memfailkan notis muflis minggu ini.

SpiceJet, penerbangan kos rendah India berkata, ia akan mengambil alih lebih banyak Boeing 737 MAX yang ditempah Jet Airways, yang muflis Jun lalu.

Pengendali kos rendah Eropah terkemuka, Ryanair, terkesan ekoran masalah pesawat MAX, sedang berusaha untuk mengambil alih pesawat-pesawat Airbus A320 yang sebelum ini disewa Thomas Cook dan meletakkannya di bawah syarikat pembawa Austria, Lauda.

“Peluang muncul di sebalik kegagalan seperti Thomas Cook,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ryanair Michael O’Leary pada majlis Reuters Newsmaker di London Selasa lalu.

“Kami bercakap dengan beberapa syarikat peminjam mengenai mengambil alih beberapa pesawat Airbus dan meletakkannya di Lauda pada musim panas akan datang,” katanya.