Umno akan lancar tabung biaya parti selepas akaun dibeku

KUALA LUMPUR: Umno akan melancarkan tabung derma bagi membiayai pengurusan dan kegiatan parti serta persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-15 selepas akaun parti dibekukan dalam siasatan berkaitan 1MDB.

Presiden Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah ini bagi memastikan kelangsungan aktiviti politik Umno.

“Kami akan lancarkan dalam waktu terdekat,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra petang tadi.

“Ini kali pertama kerana kekangan terbesar parti adalah dari segi pembiayaan aktiviti.”

Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada Mac berkata akaun Umno masih dibekukan bawah Akta Pencegahan Peng­ubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFA), selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia memfailkan permohonan melucut hak ke atas dana berjumlah RM270 juta yang dikatakan daripada 1MDB.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata transaksi paling tinggi membabitkan Umno, iaitu sebanyak RM212 juta.

Zahid hari ini mengumumkan sebuah badan profesional akan menguruskan tabung berkenaan bersama Umno.

“Kami yakin ia akan mendapat sokongan bukan sahaja daripada ahli Umno,” katanya.