Kekurangan tanah perkuburan Islam di Itali kian meruncing ketika pandemik Covid-19 dan komuniti Muslim menghadapi kesukaran untuk menyelesaikan pengebumian dengan sempurna seperti kebanyakan negara lain.
Disebabkan itu, imam dan ketua komuniti minoriti itu meminta supaya tanah perkuburan orang Islam ditambah.
“Kami menderita (akibat pandemik), tetapi lebih terkesan apabila segelintir keluarga tidak dapat menemui tapak untuk mengebumikan jenazah ahli keluarga, disebabkan tiada bahagian untuk Muslim di tanah perkuburan dalam bandar,” kata Imam Masjid Milan Sesto Abdullah Tchina kepada AFP.
Lebih 34,000 orang mati akibat pandemik itu di Itali dan kebanyakannya di kawasan industri di utara.
Salah satu punca juga disebabkan pengangkutan udara dunia hampir lumpuh sejak beberapa bulan lalu menyebabkan orang Islam yang meninggal dunia kerana Covid-19 mahupun sebab lain di Itali tidak dapat dihantar pulang ke negara asal seperti kebiasaan.
Ia sekali gus mendorong peningkatan permintaan untuk pengebumian, sedangkan tapak yang ada semakin terhad.
Jumlah penduduk Muslim di Itali sekitar 2.6 juta orang atau 4.3% daripada populasi negara itu dan kebanyakannya tinggal di utara.
Sebanyak 56% daripada mereka adalah warga asing, majoritinya dari Afrika Selatan atau Asia Selatan.
Bagaimanapun tiada angka rasmi jumlah Muslim di negara itu.
Menurut Tchina, kebanyakan jenazah orang Islam yang meninggal dunia terpaksa menempuh perjalanan sejauh 50 kilometer untuk disemadikan.
Malah lebih menyayat hati, salah seorang wanita Macedonia di Pisogne berhampiran utara Brescia, Hira Ibrahim terpaksa menyimpan jenazah ibunya, pesakit Covid-19 di rumah selama 10 hari.
Ia berikutan tanah perkuburan di kawasan berkenaan penuh, menurut media La Repubblica.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday.com