KUALA LUMPUR: Sebanyak 33 perkara membabitkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), yang menjadi punca Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) menurunkan kategori keselamatan udara, akan diselesaikan dalam masa 12 bulan, kata menteri.
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata FAA akan dipanggil untuk melakukan audit sebaik sahaja pembetulan dibuat.
Katanya, separuh daripada 33 perkara itu melibatkan prosedur yang mesti diselesaikan dalam masa 6 bulan.
“Kementerian mengambil tanggungjawab sepenuhnya supaya semua kelemahan ini akan dapat diatasi dan kita akan ambil langkah-langkah untuk pastikan Malaysia akan kembali kepada kategori 1 dalam tempoh tidak begitu panjang,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
“Antara langkah diambil ialah kita tubuh jawatankuasa khas untuk pantau dan pastikan CAAM mengambil langkah dan selesaikan 33 isu ini selesai dalam tempoh diberikan,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2020 peringkat jawatankuasa membabitkan Kementerian Pengangkutan.
Beliau menambah isu yang melibatkan perundangan pula perlukan pindaan dan akan dibawa ke Dewan Rakyat pada sesi Mac atau Jun.
“Saya harap semua wakil rakyat beri sokongan kepada pindaan dibuat bagi memastikan akta penerbangan ini lebih kukuh,” katanya.
Loke percaya penyelesaian itu nanti akan dapat memulihkan keyakinan orang ramai kepada keselamatan udara, dan menyeru pegawai CAMM menangi persepsi terhadap tahap keselamatan penerbangan.
Beliau juga memaklumkan keputusan FAA menurunkan taraf dari kategori 1 ke kategori 2 tidak menjejaskan aktiviti syarikat penerbangan.
“Mereka masih boleh terbang. Penurunan ini bukan kepada syarikat penerbangan tetapi kelemahan dalam kandungan dan struktur organisasi. Syarikat penerbangan kita cukup selamat untuk terbang,” katanya.
Pada 11 November lalu, FAA memaklumkan CAAM diturunkan penarafannya kepada Pengawal Selia Penerbangan Kategori 2 ini selepas tidak berpuas hati dengan 33 daripada 300 perkara yang diaudit.
Ia hasil Kajian Semula FAA ke atas CAAM yang dilaksanakan pada April 2019.