3 lagi hospital swasta jadi pusat vaksinasi

Hospital Pantai Kuala Lumpur dan KPJ Tawakal memvaksin lebih 800 petugas kesihatan sejak 1 Mac lepas dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan.

PETALING JAYA: Tiga hospital swasta di Selangor bakal dijadikan pusat vaksinasi Covid-19 selepas dua buah hospital di Kuala Lumpur mula memvaksin petugas barisan hadapan baru-baru ini.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) Dr Kuljit Singh berkata, Hospital Pantai Kuala Lumpur dan KPJ Tawakal memvaksin lebih 800 petugas kesihatan sejak 1 Mac lepas dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata, APHM membincangkan inisiatif sama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor untuk menjadikan tiga lagi hospital pusat vaksinasi petugas barisan hadapan.

Sementara itu katanya, inisiatif sama sedang dilaksanakan di Perak.

Beliau berkata, program vaksinasi di dua hospital di Kuala Lumpur berjalan baik tanpa laporan pembaziran atau masalah, sekali gus membuktikan bahawa hospital swasta mampu menjalankan program itu.

“Kami percaya ia adalah kerjasama awam-swasta yang baik yang boleh meningkatkan angka vaksinasi dalam mingu-minggu akan datang bagi menyempurnakan fasa pertama pada akhir bulan ini.

“Semua petugas barisan hadapan yang menerima dos pertama vaksin Pfizer-BioNtech disenaraikan oleh Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur, sementara petugas vaksinasi adalah kakitangan hospital swasta berlainan di negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kuljit berkata, ia adalah langkah pertama ke arah membolehkan hospital swasta menjalankan program vaksinasi untuk orang awam.

Bagaimanapun katanya, kemungkinan itu masih dibincangkan dengan kerajaan.