4 cedera dalam 6 letupan bom di Bangkok

Anggota polis dari unit pelupusan bom memeriksa sebuah lokasi letupan bom di Bangkok, hari ini. (Gambar AFP)

BANGKOK: Empat cedera apabila 6 letupan bom berlaku di sekurang-kurangnya 3 lokasi di ibu negara Thailand yang sedang menganjurkan mesyuarat keselamatan Asean yang dihadiri pegawai tertinggi dari Amerika Syarikat, China dan negara serantau.

Dua letupan kecil pertama itu berlaku pada waktu puncak pagi tadi, sejurus sebelum 9 pagi di 2 lokasi berhampiran pusat bandar Bangkok.

Letupan ke-3 berlaku sejurus selepas itu di sebuah kompleks kerajaan yang menempatkan beberapa kementerian di utara Bangkok.

Pusat Perubatan Erawan berkata, 4 mangsa cedera, “tiada yang serius dan semuanya menerima rawatan di hospital”.

Tiga daripada mangsa itu ialah pekerja yang sedang membersihkan jalan raya, manakala seorang lagi mangsa cedera akibat satu peranti yang meletup berdekatan bangunan King Power Mahanakhon setinggi 77 tingkat.

Kolonel polis, Kamtorn Uicharoen memberitahu Reuters keseluruhan 6 bom meletup, tetapi satu daripadanya ditemui sebelum ia meledak.

Tiada pihak yang tampil mengaku bertanggungjawab melancarkan letupan itu.

“Saya mahu mengecam mereka yang memusnahkan keamanan dan merosakkan imej negara,” kata Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha di Twitter.

“Saya sudah mengarahkan pegawai menjaga keselamatan awam dan mereka yang terjejas serta-merta.”

Bangkok menjadi tuan rumah mesyuarat menteri luar Asean ke-52 serta Persidangan Menteri dan Mesyuarat Berkaitan (AMM/PMC ke-52).

Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo dan Menteri Luar China, Wang Yi berada di Bangkok untuk menghadiri mesyuara itu.

Sementara itu, polis menahan 2 lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan 2 bom palsu ditemui di ibu pejabat polis Thailand, dekat lokasi mesyuarat keselamatan serantau itu diadakan.

Polis dilaporkan sedang menyiasat sama ada letupan hari ini mempunyai kaitan dengan insiden semalam.