
PETALING JAYA: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mendesak Presiden Amerika Syarikat Donald Trump meletakkan jawatan susulan keputusannya mengumumkan Pelan Damai Timur Tengah yang dikenali sebagai “Deal of the Century”.
Mahathir berkata, keputusan Trump untuk melaksanakan pelan damai melibatkan Palestin-Israel adalah keputusan tidak adil kerana ia hanya akan menimbulkan lebih banyak konflik di rantau itu yang ketika ini turut dibantah berbilion orang di dunia.
“Letak jawatan. Saya harap rakyat AS akan membuat keputusan yang lebih baik. Dia adalah individu yang menghina jawatan dan polisinya,” katanya pada sidang media bersempena Persidangan kali ke-3, Liga Ahli Parlimen Untuk Al-Quds, di sebuah hotel di sini, hari ini.
Trump kini rancak dalam usahanya berkempen bagi pilihan raya presiden yang pada 3 Nov 2020.
Menurut Mahathir, Trump menggunakan tekanan yang dikenakan negara-negara asing terhadapnya untuk memenangi hati rakyat AS dan pilihan raya presiden.
“Ini boleh diterima di AS, ia boleh diterima di sana, tetapi tidak boleh diterima di sini. Mana-mana orang luar yang cuba untuk mempengaruhi keputusan pilihan raya di sini, kita akan ambil tindakan terhadap orang berkenaan,” katanya.
BERITA LANJUT MENYUSUL