Aduan isu memo syarikat larang solat tak berasas, kata kementerian

Memo yang dikatakan dikeluarkan oleh sebuah syarikat di Klang melarang pekerjanya menunaikan solat pada waktu pejabat.

PETALING JAYA: Aduan terhadap sebuah syarikat di Klang yang dikaitkan dengan suatu “memo” yang dikatakan melarang pekerja Islam menunaikan solat pada masa pejabat didapati “tidak berasas”, kata Kementerian Sumber Manusia hari ini.

Kementerian dalam kenyataan berkata Pejabat Tenaga Kerja Pelabuhan Klang berpuas hati tiada larangan pekerja syarikat menunaikan kewajipan agama.

“Kes ini disyorkan selesai di peringkat aduan,” katanya. “Pihak pengurusan atasan telah menafikan laporan akbar tersebut melalui laporan polis.”

Kementerian berkata temubual pekerja tempatan dan pekerja asing secara rawak mendapati mereka tidak pernah melihat memo tersebut ditampal dan papan kenyataan syarikat atau diedar kepada pekerja.

Menurutnya lagi, mereka juga berkata syarikat itu tidak pernah memberi apa-apa penerangan mengenai isu berkaitan waktu solat atau sebarang perubahan polisi syarikat.

“Pekerja turut memaklumkan, pihak syarikat memberi kebebasan kepada pekerja untuk menunaikan solat dalam waktu kerja dan beberapa ruang solat juga ada diwujudkan di dalam kawasan kilang bagi memudahkan pekerja untuk solat,” katanya.

Syarikat itu juga memperuntukkan masa selama 1 jam kepada pekerja untuk menunaikan solat Jumaat dan mereka boleh menunaikan solat Jumaat di masjid yang berhampiran kilang.

“Sekiranya ada pekerja yang lewat masuk kembali ke kilang selepas solat Jumaat disebabkan waktu solat yang bermula lewat, tiada surat amaran yang dikeluarkan ataupun arahan potongan gaji dibuat terhadap pekerja,” katanya.

Kementerian berkata pengarah syarikat terbabit menafikan isu yang dihebahkan oleh media tersebut, dan menganggap ianya sabotaj pihak tertentu terhadap reputasi dan nama syarikat.

Pengarah tersebut, yang hanya dinamakan sebagai “Teo” berkata, dia tidak pernah mengeluarkan apa-apa arahan secara lisan atau bertulis mengenai larangan menunaikan solat dalam waktu kerja.

“Teo juga memaklumkan pihak syarikat sentiasa mengamalkan dasar terbuka dan toleransi dalam isu kebebasan beragama asalkan tidak menjejaskan kualiti dan produktiviti pekerja,” katanya.

Terdahulu, syarikat pengeluar beg plastik, Hond Tat Industries Sdn Bhd menarik balik memo melarang pekerjanya menunaikan solat pada masa pejabat, mengatakan berlaku salah faham berkaitan memo bertarikh 30 Julai itu.

“Semua pekerja marah,” kata jurucakap syarikat berkenaan kepada FMT. Beliau berkata, memo tersebut belum ditampal di papan kenyataan syarikat.

Syarikat berkenaan menafikan mengeluarkan memo tersebut, mengatakan tidak ada tanda tangan pada memo itu dan tidak ada kelulusan daripada pengurusan tertinggi.

“Sesiapa juga boleh mengambil kepala surat dan mencetaknya,” pengurus operasi syarikat kepada New Straits Times.