Ahli arkeologi temui makam era Hyksos, Naqada

Sekumpulan ahli arkeologi menemui kawasan makam kuno di delta Sungai Nil. (Gambar Instagram)

Sekumpulan ahli arkeologi menemui berpuluh makam kuno di delta Sungai Nil yang dipercayai berasal dari zaman sebelum kemunculan kerajaan Firaun lebih 5,000 tahun lalu.

Mereka turut menemui beberapa makam berhampiran kawasan itu yang dipercayai berasal dari era Hyksos iaitu antara 1650 hingga 1500 sebelum masihi ketika penjajah asing itu yang menamatkan pemerintahan Kerajaan Tengah firaun.

Dua penemuan yang dilakukan di wilayah Dakahlia terletak di utara Mesir itu boleh memberi petunjuk kepada peralihan dua era terpenting dalam sejarah Mesir Kuno, kata pengkaji Mesir.

Menurut Kementerian Pelancongan dan Antikuiti Mesir, makam berkenaan termasuk 68 daripada era Buto yang bermula sekitar 3300 sebelum masihi manakala lima daripadanya pula berasal dari era Naqada III iaitu sebelum bermulanya dinasti pertama pemerintahan di Mesir sekitar 3100 sebelum masihi.

Ia termasuk juga 37 makam yang berasal dari era Hyksos yang mula menjajah Mesir dari Sinai pada 1800 sebelum masihi.

“Tapak perkuburan ini amat menarik kerana ia menggabungkan sebahagian era terawal dalam sejarah Mesir Kuno dengan satu lagi era penting iaitu Hyksos.

“Ahli pengkaji Mesir masih berusaha untuk memahami bagaimana orang Mesir dan Hyksos hidup bersama dan sejauh mana ia era sebelum itu mengamalkan tradisi Mesir,” kata ahli pengkaji Mesir di American University di Mesir, Salima Ikram.

Kementerian itu menjelaskan, makam era Buto itu mempunyai bentuk bujur dan mayat yang ditanam berada dalam keadaan mencangkung dengan bahagian kiri badan menghadap ke barat.

Manakala beberapa makam era Naqada pula turut mengandungi bekas silinder serta berbentuk seperti buah pear.

Berdasarkan pemerhatian mereka, makam dari era Hyksos pula kebanyakannya berbentuk separa segiempat dengan keadaan mayat yang terbaring dalam posisi memanjang dan kepala menghadap ke barat.

“Misi yang dilakukan ini turut menemui ketuhar, dapur, batu diperbuat daripada tanah liat, bekas tembikar, azimat, batu bernilai serta barangan kemas seperti anting-anting,” kata kenyataan itu.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday.com