PETALING JAYA: Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir menggesa kerajaan memberi penjelasan berhubung kos “sebenar” yang perlu ditanggung negara atas pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).
Ketua Pemuda PKR itu berkata, pembatalan itu akan menyebabkan kerugian wang pembayar cukai kira-kira RM310 juta dan jumlah itu tidak termasuk kos tambahan lain.
“Sumber tidak rasmi menyatakan pampasan, kos pembiayaan dan kerugian kepada pihak tempatan yang terlibat bakal mencecah RM700 juta,” katanya dalam kenyataan.
“Tatkala banyak sektor gulung tikar, peluang pekerjaan terhad, pertumbuhan ekonomi bergerak perlahan; kini rakyat Malaysia terpaksa menanggung beban kerugian begitu besar, sedangkan wang rakyat sebanyak itu boleh disalurkan untuk menjana ekonomi dan memberi manfaat kepada rakyat yang terkesan teruk dari segi kewangan akibat COVID-19.”
Beliau memberi contoh pampasan RM310 juta itu boleh dijadikan sumbangan kepada 150,000 mahasiswa dan pelajar daripada keluarga memerlukan komputer riba untuk mengikuti sesi pembelajaran atas talian.
Semalam, Kementerian Pengangkutan Singapura berkata, Malaysia perlu membayar pampasan kepada republik itu atas pembiayaan ditanggungnya sebagai sebahagian daripada kewajiban berdasarkan perjanjian dua hala.
FMT sebelum ini melaporkan Malaysia perlu membayar Singapura kira-kira RM320 juta.
Akmal turut menggesa kerajaan mengesahkan kesahihan laporan HSR akan diganti MHSR, kereta api berkelajuan sederhana KL-JB, dengan kos anggaran RM63 bilion dan RM65 bilion, tidak jauh berbeza daripada kos asal HSR.
Bekas perdana menteri, Najib Razak dilaporkan berkata, pengecualia Singapura daripada laluan kereta api berkelajuan tinggi akan menjadikan projek itu tidak mampan kerana jumlah penumpang dijangka berkurangan daripada 8.4 juta kepada hanya 4.2 juta setahun menjelang 2031.