KUCHING: Kes remaja hamil merupakan salah satu isu penting yang perlu diberi perhatian serius, terutamanya pada waktu pandemik.
Kadar kemiskinan yang meningkat, selain situasi perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan dilihat antara punca yang akan membawa kepada peningkatan kes kehamilan dalam kalangan remaja.
Presiden Persatuan Hak Kesihatan Wanita, Dr Subatra Jayaraj mencadangkan satu dasar holisitik tanpa prajudis dirangka bagi menyokong remaja yang bergelar ibu .
“Pandemik dan PKP menyebabkan kadar kemiskinan meningkat kerana pengangguran meningkat.
“Pada masa sama akses kesihatan dilaporkan menurun. Jadi kita boleh jangkakan situasi ini (kehamilan dalam kalangan remaja) akan semakin buruk,” beliau memberitahu FMT.
Tambah beliau, status sosio-ekonomi, terutama kemiskinan dikaitkan dengan bilangan kes kehamilan dalam kalangan remaja yang lebih tinggi.
“Kemiskinan akan menjejaskan kehidupan pasangan muda. Ia isu yang kompleks bagi kelompok ini yang terdiri daripada keluarga atau komuniti berpendapatan rendah yang tidak mendapatakses pendidikan, kesihatan serta peluang ekonomi yang sewajarnya.
“Dalam kebanyakan komuniti yang tidak mendapat peluang pendidikan dan pekerjaan yang baik, perkahwinan atau hubungan di bawah umur dilihat sebagai salah satu pilihan untuk menjamin kelangsungan hidup”, jelas beliau.
“Kita perlu memahami perspektif ini untuk melakukan perubahan. Apakah peluang yang ada untuk remaja ini seandainya mereka tidak bersekolah?
“Apakah dasar sokongan yang dirangka untuk mewujudkan peluang kepada remaja ini bagi membolehkan mereka berjaya dalam komunitinya?”.
Berdasarkan satu laporan baru-baru ini, 96% daripada 2,099 kes kehamilan dalam kalangan remaja di Sarawak pada tahun lalu membabitkan remaja yang dibuang sekolah.
Ia melibatkan kanak-kanak seawal usia 10 tahun.
Subatra berkata, isu ini perlu diberi perhatian memandangkan ibu muda cenderung untuk mengalami risiko komplikasi ketika hamil yang lebih tinggi, selain kes kesihatan mental.
Secara global tegas Subatra, program intervensi yang efektif dalam menurunkan bilangan kes kehamilan remaja, termasuklah pendidikan seks yang komprehensif di peringkat sekolah, terutama mengenai pencegahan kehamilan, program pendidikan komuniti, program pembangunan remaja dan keluarga.
Terdapat 41 kes buang bayi dilaporkan di Sarawak antara tahun 2014 hingga 2020. namun Subatra percaya banyak kes lain tidak dilaporkan.
“Bila kes buang bayi berlaku, tindakan paling buruk yang dilakukan adalah menyalahkan ibu, yang merupakan mangsa kepada sistem ini.
“Kita seharusnya meningkatkan pengetahuan mengenai pencegahan kehamilan dan akses kepada alat kontraseptif. Stigma dan persepsi berat sebelah masyarakat juga hendaklah dihapuskan.”
Beliau yakin sokongan komuniti akan membantu remaja yang berdepan dengan kehamilan tanpa dirancang mendapatkan penyelesaian tanpa membuang bayi.
Sementara itu pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Sarawak Madeline Berma, berkata, keadaan ekonomi dan kehamilan dalam kalangan remaja berkait rapat.
Kajian menunjukkan kes kehamilan remaja dilaporkan lebih tinggi dalam kalangan gadis yang tinggal di kawasan dengan populasi miskin seperti perumahan setinggan.
Ia turut didorong oleh faktor kurangnya akses pendidikan dalam kalangan remaja di kawasan terbabit.
“Biarpun menjadi ibu bapa dianggap sebagai satu perubahan hidup yang positif bagi sesetengah pihak, namun bagi segelintir yang lain, kehamilan remaja akan mengakibatkan kesan sosial yang negative, termasuk hidup dalam kemiskinan, pengangguran, gaji bulanan yang rendah serta prestasi pendidikan yang lemah berbanding rakan yang lain.”
“Selain itu, anak daripada ibu yang masih remaja berkemungkinan besar akan menerima nasib yang sama. Iaitu hamil ketika remaja,” kata beliau selain menambah bahawa kehamilan yang tidak dirancang adalah antara faktor yang menyumbang kepada kes buang bayi kerana bimbang akan stigma masyarakat.
“Kita harus mendidik masyarakat kita untuk tidak bersifat menghukum bagi menangani masalah ini dari akar umbi secara efektif”.