
WUHAN: Angka kematian yang disahkan akibat jangkitan wabak koronavirus meningkat kepada 41 orang, apabila pihak berkuasa China melaporkan 15 kematian terbaru dengan lebih 1,000 orang dijangkiti.
Semua kematian terbaru berlaku di ibu negeri wilayah Wuhan, sebuah bandar raya dengan 11 juta penduduk, di mana jangkitan penafasan yang membunuh itu mula-mula dikesan, kata Suruhanjaya Kesihatan Hubei.
Wuhan dan 13 bandar raya lain di wilayah tersebut dikenakan sekatan keluar-masuk yang tidak pernah berlaku dalam usaha mengawal virus pernafasan berbahaya itu yang tersebar ke seluruh China dan beberapa negara lain.
Suruhanjaya kesihatan itu juga melaporkan 180 kes baru di wilayah berkenaan, dengan 77 kes di Wuhan sementara bakinya tersebar di bandar raya lain yang lebih kecil.
Beberapa bandar raya itu melaporkan kes pertama patogen 2019 Novel Coronavirus (2019-nCoV) mereka, kata suruhanjaya tersebut.
Angka itu akan menambah kepada jumlah 830 kes jangkitan yang disahkan di seluruh China, yang dilaporkan dalam kenyataan terakhir kerajaan pusat pada Jumaat.
Virus yang sebelum ini tidak diketahui menimbulkan kebimbangan antarabangsa kerana ia menyerupai SARS (Sindrom Penafasan Akut Teruk) yang mengorbankan beberapa ratus rakyat China dan Hongkong pada 2002-2003.
Ia juga berlaku pada masa paling tidak sesuai bagi China apabila ratusan juta rakyatnya melakukan perjalanan ke seluruh negara atau luar negara bagi menyambut perayaan Tahun Baru Cina.