APMM tahan 5 nelayan warga Indonesia ceroboh perairan Sarawak

APMM kembali melaksanakan kaedah tangkapan ke atas nelayan asing yang menceroboh perairan negara sejak 24 Jun lepas setelah mengambil pendekatan pengusiran sepanjang tempoh PKP dan PKPB. (Gambar Bernama)

KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sarawak hari ini mengumumkan tangkapan pertama kes pencerobohan nelayan asing di perairan negeri ini selepas tamat tempoh pengusiran dengan penahanan 5 nelayan warga Indonesia berdekatan Tanjung Sirik, Mukah.

Pengarah Maritim Wilayah Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Robert Teoh Geok Chuan berkata, bot nelayan berkenaan dikesan berada kira-kira 119 batu nautika dari Tanjung Sirik pada Jumaat lepas.

“Ketika diperiksa, kelima-lima nelayan terbabit yang berumur antara 25 dan 37 tahun gagal mengemukakan pengenalan diri serta kebenaran untuk menjalankan aktiviti penangkapan ikan di perairan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua nelayan asing terbabit bersama bot mereka ditunda ke jeti penumpang Tanjung Manis dan menjalani ujian saringan Covid-19 yang dikendalikan oleh pegawai kesihatan Pelabuhan Tanjung Manis sebaik tiba di jeti itu.

“Kes ini disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959,” katanya.

APMM kembali melaksanakan kaedah tangkapan ke atas nelayan asing yang menceroboh perairan negara sejak 24 Jun lepas, setelah mereka mengambil pendekatan pengusiran sepanjang tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).