Bantuan di Tg Piai bukan gula-gula PRK, kata MB Johor

PONTIAN: Bantuan Kerajaan pusat mahupun kerajaan Johor kepada penduduk dalam kawasan Parlimen Tanjung Piai bukanlah gula-gula Pilihan Raya Kecil (PRK), kata Menteri Besar Dr Sahruddin Jamal.

Beliau berkata, bantuan itu seperti kemudahan prasarana, pendidikan dan kebajikan nelayan dirancang lama sewaktu penyandang kerusi Parlimen itu, Dr Md Farid Md Rafik masih hidup.

“Buat baik pun salah, buat salah pun salah, biasalah pembangkang, tapi harus diingat apa yang saya sampaikan hari ini ialah mock-cheque, di mana permohonan ini dimohon arwah dahulu.

“Sebetulnya arwah kerja keras untuk memastikan pembangunan di kawasan Tanjung Piai ini dapat dipertingkatkan. Sebetulnya tiada gula-gula, memang arwah sendiri yang mohon,” katanya selepas menyampaikan sumbangan benih ikan kepada pengusaha ikan sangkar dan sangkar ikan High Density Polyethylene (HDPE) Pulau Kukup di Terminal Feri Antarabangsa Kukup hari ini.

Sangkar ikan HDPE alternatif baru Jabatan Perikanan kepada pengusaha sangkar ikan marin menggunakan peralatan moden berbanding sistem ternakan konvensional sedia ada.

Dilaporkan, pengumuman peruntukan oleh beberapa menteri di Tanjung Piai sebelum ini mengundang kritikan daripada pembangkang yang mendakwanya sebagai usaha meraih undi.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menafikan peruntukan berjumlah RM7 juta yang diberikan oleh kerajaan untuk kawasan Parlimen Tanjung Piai bagi meraih sokongan pengundi kawasan itu.

Mahathir menegaskan kerajaan hanya menjalankan tugas seperti biasa dan pemberian peruntukan itu secara kebetulan hampir dengan tarikh PRK Parlimen Tanjung Piai.

Mengulas mengenai hari penamaan calon PRK pada esok, Sahruddin yang juga pengarah jentera Pakatan Harapan berkata ahli dan jentera parti bersiap sedia sepenuhnya bagi memastikan kelancaran dan kemenangan calon kerajaan yang dipilih sebelum ini.

Ketua PPBM Tanjung Piai, Karmaine Sardini, 66, diumum sebagai calon PH untuk PRK ini.

Barisan Nasional (BN) pula meletakkan calon MCA, yang juga bekas penyandang Wee Jeck Seng, manakala parti Gerakan pula memilih timbalan setiausaha agung nasionalnya, Wendy Subramaniam sebagai calon.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan esok hari penamaan calon dan 16 Nov hari mengundi.

PRK diadakan selepas Farid, 42, meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 21 Sept lepas.

Terdahulu, Sahruddin melawat beberapa sangkar ikan di Pulau Kukup berdekatan jeti itu yang terjejas ekoran cuaca buruk semalam sebelum menyerahkan peruntukan hampir RM115,000 untuk pembinaan dua unit sangkar HDPE dan benih ikan kepada peserta serta pengusaha industri itu.

Beliau kemudian turut menyampaikan peruntukan kira-kira RM11 juta untuk pembinaan dewan masyarakat dan dewan serbaguna bagi beberapa sekolah di sekitar Tanjung Piai.