Bantuan makanan mesti cepat sampai kepada golongan memerlukan, kata Hajiji

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor (kiri) berkata sesuatu kepada Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun pada mesyuarat jawatankuasa khas keselamatan negeri di Kota Kinabalu hari ini.

KOTA KINABALU: Ketua menteri Hajiji Noor memberi peringatan kepada pegawai di seluruh daerah yang lambat atau gagal memberikan bantuan makanan amat diperlukan kepada rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Beliau mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri Safar Untong memantau pengedaran itu bagi memastikan bakul makanan daripada kerajaan sampai kepada semua penerima yang ditetapkan dengan cepat.

“Saya akan dapatkan kemas kini (perkara ini) dari semasa ke semasa bagi memastikan matlamat itu tercapai,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas jawatankuasa keselamatan negeri hari ini.

Mesyuarat itu dihadiri Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun, Pengarah Kesihatan Sabah Dr Christina Rundi dan ketua agensi serta jabatan kerajaan lain.

Ia diadakan untuk membincangkan keadaan semasa Covid-19 di Sabah dan usaha berterusan membendung penularan wabak itu selain strategi, hala tuju dan cabaran dihadapi.

Hajiji berkata, sebanyak 22 lokaliti di negeri ini tertakluk bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Beliau berkata, walaupun ia tidak dapat dielakkan tetapi kerajaan negeri memahami ramai pihak dalam sektor perniagaan yang mengalami kerugian.

“Kami akan meneliti keadaan untuk melonggarkan perintah kawalan pergerakan supaya perniagaan dapat dibuka semula,” katanya.