Benarkan tentera Australia, Jepun guna Labuan, kata pemimpin Pemuda Umno

Sebuah pesawat Orion RAAF melakukan cubaan pertama dari pangkalan udara Butterworth untuk Operasi Gateway pada 2013. (Gambar RAAF)

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Pemuda Umno menggesa Malaysia, Australia dan Jepun bekerjasama mewujudkan kesedaran domain maritim daripada pangkalan tentera di Labuan ketika ketegangan semakin meningkat di Laut China Selatan.

Ikmal Hazlan Ikmal Hisham mencadangkan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) dibenar menggunakan pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Labuan untuk melancarkan pesawat mereka.

Kerjasama ketenteraan sedemikian boleh dipertingkatkan dengan mempelawa rakan strategik, seperti Pasukan Pertahanan Diri Maritim Jepun menjadi sebahagian daripada kerjasama tiga hala untuk mewujudkan kesedaran domain maritim, yang beroperasi dari pangkalan tentera Labuan.

Cadangan untuk meningkatkan kerjasama ketenteraan di Malaysia Timur menyusul seminggu selepas China meluluskan undang-undang membenarkan pengawal pantainya melepaskan tembakan ke arah kapal asing, langkah yang boleh meningkatkan ketegangan di Laut China Selatan.

Tuntutan China ke atas Laut China Selatan mencetuskan ketegangan dengan kuasa Barat, khasnya Amerika Syarikat, dan negara jiran seperti Vietnam dan Filipina.

Pengawal pantai China turut menempatkan kapal berdekatan perairan Sabah yang pernah menimbulkan ketegangan diplomatik dahulu.

Ikmal, yang juga pengerusi hal ehwal antarabangsa Pemuda Umno, mengemukakan cadangannya menerusi kenyataan sempena pelancaran Rakan Kerjasama Komprehensif-Strategik Malaysia-Australia Rabu lalu.

Kedua-dua negara akan bekerjasama dalam bidang baru seperti ekonomi digital, kecemasan kesihatan, pemerkasaan belia dan bidang lain, tambahan kepada kerjasama dua hala sedia ada.

RAAF mengekalkan kehadirannya di pangkalan udara Butterworth, yang dikawalnya dari 1958 hingga 1970 ketika ia diserahkan kepada TUDM.

Malaysia dan Australia terus bekerjasama melalui Perjanjian Pertahanan Lima Negara untuk pertahanan Malaysia dan Singapura, serta sebuah program pertahanan bersama Malaysia-Australia.

Ikmal berkata, Australia menyumbang ke arah aktiviti pemantauan maritim dengan menempatkan AP-3C Orion dan pesawat maritim P8A-Poseidon di Butterworth, yang melakukan rondaan di bawah Operasi Gateway.

Pesawat Orion terbabit dalam pencarian pesawat Malaysia Airline MH370 yang hilang pada 2014 dan kapal Orkim Harmony yang dirampas lanun pada 2015.

Ikmal berkata, nilai strategik memberi akses RAAF ke pangkalan udara Butterworth terbukti dalam beberapa peristiwa.