URK (BELANDA): Sekumpulan pemuda yang berang dengan perintah berkurung di Belanda membakar pusat ujian virus korona pada malam pertamanya, selain membaling mercun terhadap polis di sebuah pekan nelayan.
Polis berkata lebih 3,600 didenda di seluruh negara kerana melanggar perintah berkurung dari jam 9 malam, Sabtu, sehingga jam 4.30 pagi Ahad. Seramai 25 orang juga ditangkap kerana melanggar perintah berkurung atau melakukan keganasan.
Video dari pekan Urk, 80 kilometer di timur laut Amsterdam, menunjukkan sekumpulan pemuda memecah masuk ke kemudahan ujian virus korona berhampiran pelabuhannya sebelum lokasi itu dibakar, lewat Sabtu.
Polis dan pihak berkuasa tempatan mengeluarkan kenyataan hari ini menyuarakan kemarahan dengan rusuhan itu yang melibatkan “membaling mercun dan batu hingga memusnahkan kereta polis dan membakar pusat ujian lkeretaocation.”
“Perbuatan itu bukan saja tidak boleh diterima, tetapi tamparan hebat terutama terhadap kakitangan pihak berkuasa kesihatan tempatan yang begitu berusaha melakukan sebaik mungkin di pusat ujian itu untuk membantu penduduk Urk,” kata pihak berkuasa tempatan.
Tambahnya, perintah berkurung akan dikuatkuasakan dengan tegas untuk sepanjang minggu ini.
Pada Ahad, premis mudah alih yang digunakan untuk membuat ujian virus korona itu hanya tinggal rangka.
Polis di Amsterdam turut bersedia menghadapi protes hari ini dengan anggota polis dikerahkan di dataran yang melihat pertempuran antara penunjuk perasaan dan polis, minggu lalu.
Majlis perbandaran mengklasifikasikan dataran itu sebagai ‘kawasan risiko’ dalam tindakan yang memberikan polis lebih kuasa untuk memeriksa orang ramai.