BN Sabah sedia kurangkan kerusi Parlimen ditandingi, kata Bung

BN akan berusaha mempertahankan kerajaan GRS yang dibentuk bersama Perikatan Nasional serta PBS, sekaligus memastikan semua calon parti gabungan kerajaan itu menang pada PRU15.

KINABATANGAN: Barisan Nasional (BN) Sabah menyuarakan kesediaan mengurangkan jumlah kerusi Parlimen yang akan ditandinginya pada pilihan raya umum ke-15 untuk memberi ruang kepada parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pengerusi BN Sabah, Bung Moktar Radin berkata, ini bagi memastikan kemenangan PRU15 menjadi milik mereka dan kerajaan semasa.

“Dulu (PRU14), BN (Sabah) meletakkan 14 kerusi untuk UMNO, tetapi (kali ini) kita sedia berunding. Kita mahu menang kerana sekarang ini bukan soal bertanding berapa (banyak kerusi), tetapi berapa banyak (kerusi) yang boleh kita menang.

“Bertanding kalau banyak kalah pun tidak guna juga, biarlah tidak bertanding banyak, tetapi kita menang sokongan,” katanya sambil menganggarkan sasaran awal UMNO bertanding 10 hingga 12 kerusi pada PRU15.

Bung yang juga ketua UMNO Sabah dan Ahli Parlimen Kinabatangan berkata demikian selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Kinabatangan.

Katanya, BN akan berusaha mempertahankan kerajaan GRS yang dibentuk bersama Perikatan Nasional serta Parti Bersatu Sabah (PBS), sekaligus memastikan semua calon parti gabungan kerajaan itu menang pada PRU15.

Sementara itu, Bung berkata, cawangan UMNO yang tidak aktif, selain keahlian yang tidak mencukupi akan dibubarkan.

“Hal ini penting dalam pilihan raya kerana kita memerlukan pengundi, apabila ada cawangan yang gagal berfungsi, misalnya ketua cawangan dia kena ada ahli dan matlamat utama ialah ahli itu kena jadi pengundi.

“Namun, ada ketua cawangan pun tidak tahu berapa ahli yang mengundi di cawangannya. Pada saya itu tidak baik, jadi saya menetapkan di Sabah, kita akan bubar cawangan tidak memainkan peranan ini.”