Cuba hubungi wakil CBP, Top Glove belum pasti impak sekatan AS

Sekatan yang dikenakan CBP ke atas Top Glove atas dakwaan penggunaan buruh paksa telah menjejaskan nilai saham syarikat pembuat sarung tangan itu.

PETALING JAYA: Top Glove Corporation Berhad (Top Glove) belum dapat menjangka impak sekatan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) di Amerika Syarikat (AS) terhadap aspek kewangan dan operasi kumpulan itu.

Syarikat itu memaklumkan kepada Bursa Malaysia, pihak perundangan kumpulan syarikat itu di AS kini dalam usaha berhubung dengan wakil-wakil CBP bagi mendapatkan penerangan dan maklumat lanjut berkaitan arahan yang dikeluarkan itu.

“Dalam kenyataan yang di terbitkan pada 9 Mac, perunding tersebut berpendapat bahawa perkembangan lebih lanjut telah dicapai berkaitan petunjuk buruh paksa dan mempertimbangkan tindakan berterusan Top Glove, penemuan itu tidak sama dengan sistem buruh paksa,” katanya, lapor Utusan.

Sementara itu, syarikat itu berkata, ia mengambil semua langkah yang diperlukan untuk mengatasi masalah itu dan pengumuman akan dibuat kepada pemegang taruh setelah ada perkembangan lanjut tentang perkara tersebut.

Terdahulu, CBP mengarahkan kakitangan di semua pelabuhan negara itu merampas sarung tangan pakai buang yang dihasilkan Top Glove.

Ia susulan dakwaan CBP ia menemui “maklumat mencukupi” bahawa produk tertentu keluaran Top Glove dihasilkan menggunakan buruh paksa, banduan atau terikat.

Pegawai kanan CBP Troy Miller malah menegaskan pihaknya tidak akan bertoleransi dengan eksploitasi yang dilakukan syarikat asing terhadap pekerja rentan dan tanpa etika membekalkan barangan kepada pengguna AS.

Saham Top Glove ditutup 5.35% lebih rendah semalam pada RM4.78 sesaham selepas dibuka pada RM4.97 sesaham pada sebelah pagi.