KUALA LUMPUR: Dakwaan berlaku salah laku polis terhadap tahanan kes LTTE adalah tidak berasas dan tidak bertanggungjawab, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.
Beliau berkata, jika benar pihak yang membuat tuduhan itu mempunyai rakaman CCTV mengenai perkara itu, mereka diminta membawanya semula ke mahkamah.
“Berkaitan dengan beberapa kenyataan serta tuduhan umum yang dibuat oleh peguam dan ahli politik tertentu terhadap perbuatan yang kononnya menyalahi undang-undang yang dilakukan oleh pegawai polis ke atas tahanan kes LTTE, maka saya dengan tegasnya membuat penafian.
“Saya berdiri teguh atas penjelasan yang diberikan oleh pegawai saya bahawa dakwaan itu adalah tidak berasas sama sekali dan amat tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, beberapa portal melaporkan dakwaan berlakunya kes lima daripada 12 tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) yang dikaitkan LTTE didera dan diseksa.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini menafikan dakwaan berlakunya kejadian tahanan SOSMA didera dan diseksa sepanjang ditahan dan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata, KDN menyemak dakwaan itu dengan Abdul Hamid dan pegawai terlibat dan mendapati dakwaan itu tidak benar.
Abdul Hamid berkata, apa yang perlu difahami ialah fakta bahawa dakwaan salah laku polis itu dibuat oleh mereka selepas ia dijalankan secara tertutup (in camera) di kamar hakim.
“Patutnya semua pihak mestilah menghormati proses undang-undang ini dan tidak membuat tuduhan melulu di khalayak umum,” katanya.
Katanya, beliau merujuk perkara itu kepada peguam negara dan sedang menunggu arahan untuk tindakan selanjutnya.