KOTA KINABALU: DAP Sabah hari ini menyuarakan sokongan kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dalam menamakan Ketua Menteri Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH) sekiranya pilihan raya kilat diadakan.
Dalam satu kenyatan, 10 pemimpin negeri parti itu menggesa Jawatankuasa Eksekutif Pusat parti itu supaya mengesahkan cadangan tersebut.
Mereka juga menggesa semua ahli Parlimen dari Malaysia Timur supaya “berdiri di belakang Shafie untuk mencipta sejarah negara ini dengan melantik perdana menteri dari timur.”
Mereka menggesa ahli Parlimen PBS, STAR, PBRS dan GPS supaya memberi undi percaya kepada Shafie sebagai perdana menteri.
“Ini kali pertama dalam sejarah Malaysia sejak 1963 seorang warga Malaysia Timur disebut-sebut sebagai calon perdana menteri bagi kerajaan persekutuan.
“Sekarang adalah masa paling tepat, iaitu sewaktu pemimpin dari semenanjung tidak dapat menentukan calon pemimpin paling baik dalam kalangan mereka,” katanya.
10 pemimpin DAP negeri itu termasuk 3 ahli Parlimen, seorang senator dan 6 Adun.
Mereka berkata, Sabah dan Sarawak tidak lagi perlu bimbang mengenai pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 atau rakyat dipinggirkan daripada belanjawan pembangunan sekiranya Shafie dilantik sebagai perdana menteri.
“Kami juga menjangkakan penyelesaian lebih cepat berhubung isu royalti minyak dan bayaran tunai petroleum, telaga minyak dan galian, semakan Akta Wilayah Laut 2012 dan hak negeri ke atas pentas benua.”