Giatkan usaha galak toleransi antara kaum, gesa SUHAKAM

SUHAKAM menyarankan dialog antara budaya bagi mempromosi sikap bertolak ansur dan hormat menghormati antara satu sama lain.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menggesa kerajaan menggiatkan usaha menerapkan dasar dan langkah-langkah untuk membanteras ucapan berunsur kebencian dan menggalakkan toleransi.

Suruhanjaya itu turut menyeru agar platform terbuka diwujudkan bagi pelbagai lapisan masyarakat membincangkan dan menangani isu diskriminasi perkauman di negara ini.

Dalam kenyataan bagi memperingati Hari Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Perkauman yang disambut hari ini, SUHAKAM berkata penggunaan teknologi dalam talian berkembang pesat ekoran wabak Covid-19 dan amalan norma baharu untuk berkomunikasi dan menyebarkan maklumat dalam semua lapisan masyarakat.

Sayangnya, kata SUHAKAM, media sosial disalahgunakan oleh beberapa pihak untuk mengaibkan dan menyalahkan orang lain secara umum melalui serangan lisan, kenyataan bersifat rasis dan menggalakkan xenofobia, yang menyasarkan etnik-etnik dan kewarganegaraan tertentu.

“Majoriti daripada pengguna media sosial merupakan golongan belia dan tanpa bimbingan yang sewajarnya, ia akan memberi risiko memburukkan lagi perkauman dan sikap tidak bertolak ansur,” katanya.

SUHAKAM menyarankan dialog antara budaya bagi mempromosi sikap bertolak ansur dan hormat menghormati dan menekankan kepentingan memupuk budaya bertolak ansur, kesaksamaan dan tiada diskriminasi dalam kalangan belia, yang berpotensi membentuk masyarakat yang adil, aman damai dan lestari pada masa hadapan.

Suruhanjaya itu juga mengulangi seruannya agar kerajaan meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Tentang Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), sambil berkata, ia akan berfungsi sebagai pemangkin terhadap usaha yang lebih bersepadu untuk mempromosikan dan melindungi hak asasi manusia.

Tema bagi Hari Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Perkauman tahun ini adalah “Belia Berdiri Teguh Menentang Perkauman”, yang mengiktiraf peranan belia yang semakin besar dalam masyarakat dan dalam menentukan masa depan negara.