Hanya darurat dapat halang pilihan raya, kata Muhyiddin

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, pilihan raya kecil di Batu Sapi dan pilihan raya negeri Sarawak hanya boleh ditangguhkan sehingga pandemik Covid-19 berakhir sekiranya darurat diisytiharkan.

PETALING JAYA: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata hanya perisytiharaan darurat membolehkan pilihan raya kecil di Batu Sapi dan pilihan raya negeri Sarawak ditangguhkan sehingga pandemik Covid-19 berakhir.

Beliau berkata, ia selaras dengan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

“Jika pilihan raya tidak dapat ditangguhkan atas apa-apa sebab sekalipun, rayuan saya kepada kepada penduduk di Batu Sapi dan Sarawak berhati-hatilah.

“Jagalah diri dan patuhi SOP dengan penuh berdisiplin apabila pilihan raya diadakan,” katanya pada sidang media khas situasi semasa Covid-19, hari ini.

Sidang media itu diadakan seminggu selepas cadangan kerajaan melaksanakan perintah darurat ditolak oleh Yang di-Pertuan Agong.

Kes positif Covid-19 meningkat mendadak selepas pilihan raya negeri Sabah dengan kes harian lebih 500 kes setiap hari.

Semalam 799 kes baru Covid-19 dicatatkan di seluruh negara.

Negeri berkenaan mendominasi catatan kes harian tertinggi sejak PRN yang diadakan pada akhir Sept lalu dan setakat ini mencatatkan 13,701 kes.

Susulan peningkatan penularan kes positif Covid-19, beberapa negeri kini diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) antaranya Sabah, Labuan, Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur.