Ibu bapa tidak dibenar masuk ke kelas, antara garis panduan buka semula prasekolah

Kerajaan bersetuju prasekolah, tabika dan tadika dibuka semula pada 1 Julai berdasarkan garis panduan yang ditetapkan.

PETALING JAYA: Guru dan pembantu pengurusan murid perlu memastikan ibu bapa atau penjaga tidak memasuki kelas prasekolah atau tabika dan tadika, menurut garis panduan pembukaan semula prasekolah yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Garis panduan itu juga menyebut, guru dan pembantu murid perlu memastikan aktiviti berkumpulan atau aktiviti melibatkan sentuhan tidak dilaksanakan, selain memastikan murid tidak berkongsi bahan dan peralatan.

“Selain itu, perlu dibersihkan (disinfeksi) bahan dan peralatan selepas digunakan serta menghidangkan makanan di tempat yang disediakan.

“Guru dan pembantu pengurusan murid perlu memakai pelitup muka semasa bersama-sama dengan murid,” menurut garis panduan itu lagi.

Beberapa garis panduan lain juga perlu dipatuhi seperti guru dan pembantu pengurusan murid memastikan kawalan masuk dijalankan bagi tujuan memeriksa suhu badan dan membuat saringan bergejala.

Pada masa sama, garis panduan itu turut menyenaraikan peranan dan tanggungjawab ibu bapa atau penjaga, antaranya memastikan anak berada dalam keadaan sihat sebelum hadir ke prasekolah, tabika dan tadika. Mereka yang tidak sihat tidak dibenarkan hadir.

“Memastikan anak atau anak jagaan tidak membawa beg sekolah dan bekalan makanan atau minuman. Pengecualian diberikan kepada anak atau anak jagaan yang memerlukan makanan khas dengan kebenaran pihak pentadbir sekolah,” katanya.

Ibu bapa dan penjaga juga perlu menggalakkan anak memakai pelitup muka.

Bagi anak atau anak jagaan yang berimuniti badan rendah, mereka perlu sentiasa memakai pelitup muka, manakala anak atau anak jagaan yang tidak boleh mengurus pemakaian pelitup muka, tidak perlu memakainya.

Sewaktu tempoh pengjaran dan pembelajaran (PdP) di prasekolah, guru atau pembantu pengurusan murid perlu memastikan murid berada di tempat duduk masing-masing semasa perbualan awal dan dididik tentang amalan keselamatan dan kesihatan diri semasa berada di kelas dan di rumah.

“Pada waktu rehat, murid juga perlu makan di tempat masing-masing dan tidak dibenarkan berkongsi makanan dan peralatan makan minum seperti sudu, cawan dan sebagainya,” menurut garis panduan itu lagi.

Garis panduan itu turut memaklumkan bahawa penglibatan pihak luar dalam PdP secara bersemuka tidak dibenarkan. Murid juga tidak dibenarkan menggunakan kemudahan dan alat permainan luar.

“Lawatan sambil belajar dalam atau di luar kawasan prasekolah, tabika, tadika juga tidak dibenarkan. Selain itu, murid perlu mencuci tangan sebelum dan selepas menjalankan aktiviti.

“Aktiviti PdP di luar bilik darjah hanya boleh dilaksanakan di persekitaran bilik darjah dengan mengamalkan penjarakan sosial,” katanya.

Dalam satu kenyataan, KPM, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) memberitahu garis panduan yang dikeluarkan itu telah dimuktamadkan.

“Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bilangan 53 Tahun 2020 pada 15 Jun meluluskan garis panduan ini serta bersetuju tarikh pembukaan semula prasekolah, tabika, tadika kerajaan dan swasta bermula dari 1 Julai,” katanya.