KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Anwar Ibrahim hari ini menafikan beliau menyebut perkataan “barua” yang merujuk Kongres Maruah Melayu seperti dalam satu klip video tersebar sejak semalam.
“Itu semua politik bangang.
“Jangan fitnah, jelas ini gurauan saya dengan perdana menteri dan Mat Sabu (Mohamad Sabu),” katanya di lobi Parlimen hari ini ketika ditanya wartawan sama ada beliau menyebut “barua” atau “maruah” dalam video viral itu.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, apa yang dikatakannya ialah “ini semua semangat maruah lepas Kongres Maruah (Melayu)”.
Satu klip video yang tersebar di media sosial menunjukkan Anwar berkata “Biar dia (Dr Mahathir Mohamad), (sejak) kongres ‘barua’ ni semangat dia lain macam”.
Susulan itu, setiausaha politik kepada perdana menteri, Mohd Zahid Md Arip hari ini mengingatkan semua pemimpin supaya bercakap dengan jelas bagi mengelakkan timbul salah faham.
Zahid dilaporkan berkata, beliau bersangka baik dan menganggap Anwar menyebut “barua” tanpa sengaja.
“Dia bila salah satu huruf ini dia boleh menimbulkan masalah di lain hari.
“Jadi saya fikir ini gurauan dan walaupun gurau, saya ambil kesempatan ini untuk nasihatkan Anwar dan siapa-siapa sahaja supaya lain kali biar jelas sebutan itu supaya kita tak berperang,” kata Zahid.