PETALING JAYA: Proton Holdings Bhd berkata, jualan kenderaannya merosot 29.9% bulan lalu berbanding tempoh sama tahun lalu, tetapi SUV dan Proton Saga terus mendahului jualan.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, pegangan pasarannya dianggarkan di tahap 18.5%, merosot 1% berbanding tempoh sama 2020.
Beliau berkata, dengan penjualan sebanyak 5,964 unit, Proton berada di tangga kedua bulan lalu.
Bagaimanapun, katanya, kadar jualan mencerminkan ketidakbolehan pengeluaran kenderaan untuk memenuhi permintaan dan bukan pengurangan tempahan.
“Januari adalah bulan yang agak sukar bagi industri automotif Malaysia.
“Kami mempunyai harapan tinggi momentum yang dibina pada akhir tahun lepas akan dibawa ke tahun baru ini, terutamanya selepas pengumuman insentif Penjana akan kekal hingga ke pertengahan tahun.
“Malangnya, pengumuman perintah kawalan pergerakan (PKP) untuk kali kedua telah menghampakan harapan itu,” katanya dalam kenyataan.
Roslan berkata, Proton Saga ialah model terlaris bulan lalu dengan 2,583 unit sudah dihantar kepada pembeli, sekali gus menjadikannya sedan segmen-A yang kedua paling popular.
Katanya, Proton X70 dan X50 pula kekal di tangga teratas SUV segmen-C dan segmen-B (lima tempat duduk), walaupun jualannya berkurangan kepada 892 unit serta 1,082 unit.
Beliau berkata, sebanyak 4,809 unit Proton X50 sudah dihantar kepada pelanggan sejak dilancarkan pada 27 Okt 2020.
Katanya, Proton Persona di tangga kedua kategori sedan segmen-B, manakala Proton Exora kekal MPV segmen-C paling popular.
“Proton Iriz pula mengakhiri bulan Januari di tangga ketiga bagi ‘hatchback’ segmen-B.”
Roslan berkata, walaupun Proton masih penuh dengan tempahan sejak akhir tahun lalu, ia perlu bekerja keras supaya pengeluarannya dapat memenuhi permintaan.
“Talian bekalan kami terjejas untuk beberapa bulan lepas dan ini menyukarkan kebolehan membina kenderaan kerana bekalan bahagian tidak konsisten.
“Situasi ini dihadapi semua pengeluar kenderaan sejak tahun lepas, namun kami menaruh harapan ketibaan vaksin akan menstabilkan keadaan ini pada pertengahan tahun.”
Walaupun terdapat kelewatan, katanya, Proton berhasrat meneruskan pelancaran produknya untuk tahun ini dalam usaha meningkatkan penjualan di dalam dan luar negara.