Kenaikan gaji 2021 mungkin terendah dalam 5 tahun

Tinjauan dilakukan firma perunding sumber manusia Mercer Malaysia mendapati 84% organisasi melaksanakan pembekuan pengambilan pekerja.

PETALING JAYA: Tinjauan dilakukan firma perunding sumber manusia menunjukkan pekerja masih boleh mengharapkan kenaikan gaji pada 2021, walaupun impak Covid-19 terhadap ekonomi, tetapi ia mungkin mencapai tahap terendah dalam 5 tahun.

Hasil Tinjauan Pendapatan Keseluruhan 2020 oleh Mercer Malaysia mengunjurkan kenaikan gaji sebanyak 4.5% bagi 2021, lebih rendah daripada 4.7% tahun ini. Kenaikan purata tahun ini adalah kali pertama ia berkurang bawah 5% sejak 2015.

Ketua perunding Mercer Malaysia Koay Gim Soon berkata, syarikat yang termasuk dalam tinjauan itu memberi “unjuran konservatif” kerana masih berdepan kesan pandemik, dengan 20% melaporkan tidak akan menawarkan kenaikan gaji tahun ini.

“Kami juga melihat 84% organisasi melaksanakan pembekuan pengambilan pekerja,” katanya dalam webinar dan menambah “kebanyakannya melaporkan mereka hanya akan meneruskan pengambilan pekerja apabila perniagaan kembali stabil”.

Tinjauan itu juga menunjukkan pembayaran bonus akhir tahun akan berkurang dalam kebanyakan sektor disebabkan prestasi perlahan tahun ini. “Sebilangan besar organisasi sana ada tidak membayar bonus atau menyemak semula pembayaran bonusnya kepada angka konservatif.”

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Mercer Malaysia Godelieve van Dooren berkata, ini menunjukkan trend yang lebih luas di rantau Asia.

“Kami melihat sejumlah organisasi terpaksa melaksanakan langkah pengurangan kos tenaga kerja,” katanya.

Beliau berkata, syarikat di rantau ini melaksanakan usaha itu bagi mengelak kesan lebih serius kepada pekerja dan menyediakan pelan tindakan untuk diikuti syarikat tempatan.