Keputusan ujian darah pelajar sesak nafas di Pasir Gudang esok, kata MB

Menteri Besar Johor, Dr Sahruddin Jamal. (Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Keputusan ujian sampel darah mangsa yang terkesan akibat sesak nafas melibatkan pelajar sekolah di Pasir Gudang Khamis lepas dijangka diketahui esok, kata Menteri Besar Johor Dr Sahruddin Jamal.

Beliau berkata, pihaknya sedang menunggu keputusan ujian sampel darah daripada pihak berkaitan untuk mengetahui punca sebenar insiden sesak nafas itu.

“Kita masih tidak tahu (punca). Tiba-tiba pelajar kena gejala mual, muntah dan pengsan. Kalau (kes) lepas, kita dapat cari (punca) dari Sungai Kim Kim, tapi yang ini tidak pasti. Kita masih tunggu ujian sampel darah daripada pesakit. Dari situ nanti kita akan dapat tahu punca sebenarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada majlis peletakan struktur akhir Projek Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di sini, hari ini.

Ketika ditanya sama ada kerajaan negeri mempunyai rancangan mewujudkan kawasan perindustrian bersepadu susulan 2 insiden, termasuk kes pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang Mac lepas, Sahruddin berkata, kerajaan negeri akan melihat kesesuaian perkara itu.

Beliau berkata, satu perbincangan akan dibuat bersama Plan Malaysia (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa) kelak untuk melihat secara terperinci kesesuaian berkenaan.

“Itu nanti kita akan bincang, kita akan buat satu lagi siasatan yang lebih terperinci dan mungkin juga tubuhkan jawatankuasa,” katanya.