PETALING JAYA: Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM) berkata, rata-rata pemandu teksi tidak berpuas hati dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), bukannya kerajaan.
Oleh itu, Presidennya, Kamarudin Mohd Hussain meminta kerajaan mengkaji punca pemandu teksi tidak berpuas hati dengan dua agensi itu yang sepatutnya bekerjasama dengan pihaknya untuk menjayakan semua program dirangka kerajaan.
Beliau berkata, pihaknya berterima kasih kepada kerajaan memberi bantuan kepada pemandu teksi, khasnya ketika penularan Covid-19, tetapi bimbang ia tidak dilaksanakan dengan baik.
“Kami bimbang jika kelemahan di peringkat pelaksanaan tidak ditangani segera dan dibiarkan berterusan, ia bukan saja akan menyebabkan program pembangunan yang dirangka kerajaan tidak dapat direalisasikan dengan sempurna, bahkan akan menyebabkan program tersebut gagal,” katanya dalam kenyataan.
Oleh itu, beliau menyarankan kerajaan memberi nafas baru kepada APAD dan LPKP.
Semalam, Kamarudin dilaporkan berkata, ramai pemandu teksi belum menerima bantuan “one-off” RM600 yang diumumkan tahun lalu.
Katanya, ramai ahlinya bimbang rekod “lemah” APAD dan LPKP dalam membela pemandu pengangkutan awam akan menggagalkan pelbagai program bantuan kerajaan.
Beliau berkata, pihaknya teruja dengan skim pemulihan sewa beli teksi yang diumumkan kerajaan 18 Jan lalu, namun bimbang pelaksanaannya tidak akan mencapai hasil diharapkan.
“Kami bimbing kerenah birokrasi akan sengaja diwujudkan, yang akhirnya akan menggagalkan skim diumumkan kerajaan itu.”
April lalu, Kementerian Kewangan mengumumkan bantuan “one-off” RM600 akan mula dibayar kepada pemandu teksi dan pemandu pelancong berdaftar.
Minggu lalu, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan skim pemulihan sewa beli bas dan teksi bagi membolehkan pengusaha menstruktur semula pinjaman kenderaan, menikmati moratorium pembayaran balik selama 12 bulan dan pembayaran balik bulanan lebih rendah.