Kesal sikap Kula, MTUC gesa Dewan Negara tolak RUU Perhubungan Perusahaan

Presiden MTUC, Abdul Halim Mansor. (Gambar Fail)

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendesak Dewan Negara menolak rang undang-undang pindaan Akta Perhubungan Perusahaan 1967 kerana ia dibentangkan tanpa persetujuan kesatuan itu dan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF).

Presidennya, Abdul Halim Mansor berkata Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran sebelum ini memberi jaminan kerajaan Pakatan Harapan mematuhi semangat “tripartisme” dalam meminda tiga undang-undang perburuhan termasuk Akta Perhubungan Perusahaan.

Selain Akta Perhubungan Perusahaan, Akta Kesatuan Sekerja dan Akta Kerja juga dibentangkan.

“Apa yang dibentangkan di Parlimen tidak lebih daripada pindaan yang hanya dipersetujui kementerian tanpa mengambil kira pandangan dan keinginan pekerja serta majikan.

“Ini adalah satu bentuk pengkhianatan oleh menteri terhadap pekerja dan kesatuan sendiri.

“Kami percaya rang undang-undang itu diluluskan di Dewan Rakyat kerana ramai ahli Parlimen tidak menyedari pencabulan kuasa oleh menteri apabila beliau meminggirkan NLAC dalam membentangkan pindaan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Halim Mansor juga berkata MTUC sudah mengutus memorandum kepada 65 ahli Dewan Negara, meminta mereka menangguhkan kelulusan pindaan tersebut.

Beliau juga berkata pihaknya memberi penerangan secukupnya kepada ahli Dewan Negara supaya pindaan undang-undang di rujuk kembali kepada untuk penelitian dan pertimbangan NLAC, seperti mana yang dijamin Kula Segaran sebelum ini.

Sebelum ini, MTUC mendakwa Kula Segaran berbohong apabila mendakwa beliau mengadakan perbincangan terperinci dengan pihak berkepentingan sebelum membentangkan pindaan RUU tersebut di Parlimen.

Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata Kula Segaran memungkiri janji bahawa segala cadangan pembaharuan undang-undang perburuhan akan dikaji dan diperakui oleh jawatankuasa teknikal.

Bagimanapun, Kula Segaran berkata kementeriannya mengadakan sembilan mesyuarat NLAC tahun ini, selain pelbagai mesyuarat jawatankuasa teknikal sejak Januari.