
KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd hari ini berkata, ia akan terus bekerjasama dengan kerajaan dan Malaysia Airlines (MAB) bagi mengkaji semula cadangan dan memuktamadkan keputusan mengenai pilihan rakan kongsi strategik MAB paling sesuai.
Dana pelaburan strategik kerajaan Malaysia itu melancarkan proses menilai rakan kongsi berpotensi bagi syarikat penerbangan negara tersebut pada 2019.
“Sejumlah 9 cadangan diterima, yang mana 4 telah disenarai pendek,” menurut Khazanah dalam kenyataan hari ini.
Khazanah juga memberi pertimbangan sewajarnya kepada pilihan yang tersedia padanya untuk menyelesaikan isu-isu utama dihadapi MAB.
Khazanah juga berkata ia berjaya mencapai penyelesaian berkaitan penstrukturan semula tol PLUS.
Penyelesaian itu sekali gus membawa pengurangan kadar tol sebanyak 18% bagi lebuh raya PLUS serta menawarkan penjimatan kepada kerajaan berjumlah RM42 bilion untuk tempoh konsesi baru yang berakhir pada 2058, menurutnya.
Ia pada masa sama menyaksikan Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kekal sebagai pemegang saham PLUS.
“Penstrukturan semula ini kini berada di peringkat perbincangan dengan pihak berkepentingan bagi meminda perjanjian sedia ada,” menurut Khazanah.