KKM: Lebih banyak sektor ekonomi dibuka jika kes Covid-19 kekal 1 angka

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, SOP untuk beberapa lagi sektor ekonomi sedang diperinci dan akan dibentang minggu hadapan, termasuk rayuan komuniti OKU untuk membuka semula perkhidmatan refleksologi. .

PUTRAJAYA: Operasi semua sektor ekonomi dijangka dibuka semula sepenuhnya pada penghujung tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) yang di dijangka berakhir 31 Ogos.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia adalah sasaran yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) jika trend jangkitan baru Covid-19 adalah seperti sekarang atau menurun lagi.

“Kita sudah membuka semula salun dan kedai gunting rambut. Sampai ke penghujung PKPP, kita menjangkakan boleh membuka semula semua sektor.

“Jika kita boleh mengekalkan kes dengan 1, 2 angka serta menurunkan lagi bilangan kes, kita boleh membuka semula lebih banyak sektor,”katanya pada sidang media harian Covid-19, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas rayuan komuniti OKU yang minta kerajaan mempertimbangkan untuk meluluskan perkhidmatan refleksologi sepanjang PKPP.

Noor Hisham berkata, prosedur operasi standard (SOP) untuk beberapa lagi sektor sedang diperinci dan akan dibentang minggu hadapan, termasuk rayuan komuniti OKU.

11 pelajar Mesir positif Covid-19 dari pelbagai negeri

Dalam perkembangan sama, KKM tidak menolak kemungkinan 11 kes import Covid-19 melibatkan pelajar Mesir hari ini melibatkan mereka yang berasal dari pelbagai negeri.

Noor Hisham berkata, kesemua mereka ditempatkan di pusat kuarantin di Melaka sebaik sahaja tiba di negara ini.

“Boleh jadi mereka (berasal) dari Kelantan atau dari mana sahaja,” katanya.

Menurutnya, 11 kes import berkenaan dikesan dalam ujian saringan kedua yang dilakukan pada hari ke -13.

“Kesemua mereka dikuarantin di pusat kuarantin di Melaka,” katanya

Terdahulu hari ini tular di media sosial bahawa 4 daripada 11 pelajar Mesir yang disahkan positif Covid-19 berasal dari Kelantan.

Kes positif melibatkan pelajar Mesir berkenaan adalah ke-2 tertinggi direkodkan hari ini selepas 16 kes membabitkan kluster Pedas, Negeri Sembilan.

Noor Hisham turut memaklumkan, individu yang disahkan negatif dan diarah menjalani kuarantin kendiri di rumah sebaik sahaja pulang dari luar negara, tetap perlu menjalani ujian saringan ulangan pada hari ke-13.

Katanya, tahap kesihatan individu terbabit juga akan dipantau sepanjang tempoh kuarantin itu.

“Jika sudah kuarantin di rumah, mereka tetap perlu menjalani ujian ke-2. Sekiranya ujian ke-2 pada hari ke-13 adalah negatif, barulah kita bebaskan.

“Kaedah pemantauan sama juga digunakan. Kita menggunakan applikasi MySejahtera dan mungkin akan turut melawat serta memastikan mereka duduk di rumah,” katanya.