
PETALING JAYA: Kumpulan hak asasi manusia menggesa kerajaan tidak menghantar individu melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) ke penjara, mengatakan penjara berisiko menjadi kluster baru Covid-19 jika tahanan tidak disaring dengan betul.
Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (Edict) berkata perkara ini, antara lain akan menyebabkan kerajaan terdedah kepada dakwaan kecuaian.
Edict dalam kenyataan berkata penjara antara lain mesti menyediakan pemeriksaan perubatan dan pendaftaran di pintu masuk, pengurusan pakaian seragam dan dobi, peruntukan makanan, peruntukan bagi tahanan mengambil preskripsi ubat, peruntukan kesihatan dan keselamatan, peruntukan pemantauan, kawalan pelawat dan kakitangan terlatih dan pengangkutan.
Ia menambah kerajaan bertanggungjawab memastikan kesejahteraan, kesihatan, dan keselamatan setiap tahanan, walaupun penjara hanya menempatkan tahanan PKP.
Memandangkan tiada penjarakkan sosial di tempat seperti itu, setiap tahanan mesti diasingkan sehingga disahkan bebas Covid-19.
“Setelah itu barulah tahanan ditempatkan di penjara,” katanya.
“Jika ujian tidak dilakukan, penjara akan jadi kluster baru Covid-19.
Sambil menambah mereka yang dipenjarakan mungkin cenderung membunuh diri, kakitangan penjara mesti dilengkapi dengan semua kaedah yang perlu untuk mengesan dan bertindak balas terhadap tingkah laku bunuh diri.
“Akan ada individu yang agresif dan ganas di antara tahanan, dan pergaduhan boleh berlaku,” tambahnya.
Kenyataan Edict menyusuli pengumuman Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob minggu lalu bahawa kerajaan akan menjadikan 13 akademi penjara pusat untuk menampung peningkatan jumlah individu yang ditahan kerana melanggar PKP.
“Di akademi itu, peraturan yang sama akan digunakan seperti di penjara biasa. Mereka akan mengikuti tatacara operasi standard yang sama,” kata menteri.
Beliau juga berkata perbincangan lebih lanjut akan diadakan dengan polis, jabatan penjara dan Jabatan Peguam Negara.
Tetapi Edict mengatakan pembayar cukai yang harus membayar ganti rugi yang diberikan mahkamah.
“Ini wang yang boleh digunakan dengan lebih baik,” tambahnya.
Edict sebelum ini menggesa pihak berkuasa mempertimbangkan semula penahanan mereka yang melanggar PKP dalam lokap, yang akan melanggar prinsip penjarakkan sosial.
Para peguam turut mendesak polis supaya hanya mengenakan kompaun terhadap pengingkar berikutan kesalahan itu jenis yang tidak boleh ditangkap.