Masa depan suram bagi operator perkhidmatan bas

Sekatan perjalanan dan rentas sempadan memberi kesan buruk ke atas syarikat pengendali perkhidmatan bas. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Persatuan Operator Bas Pan Malaysia memberi gambaran suram yang dihadapi pemain industri susulan situasi semasa pandemik Covid 19 pada ketika ini.

Presidennya Ashfar Ali berkata, sekatan perjalanan yang dilaksanakan sejak tahun lalu memberi kesan buruk kepada syarikat yang dinaungi oleh persatuan berkenaan.

Berdepan kepahitan itu, Ashfar berharap ia hanyalah sementara untuk masa depan yang lebih baik, terutama bagi pengedali syarikat perkhidmatan bas di negara ini.

“Untuk bas ekpress, kerugian yang ditanggung adalah 100% kerana perjalanan rentas daerah yang dihadkan. Jadi syarikat ini tidak lagi beroperasi.

Mohamad Ashfar Ali.

“Begitu juga dengan syarikat yang menawarkan perkhidmatan perjalanan ke Thailand dan Singapura, “ beliau memberitahu FMT.

Beliau berkata, bagi bas harian yang beroperasi dalam satu negeri pula, sekatan lebih tegas turut memberi impak kepada pendapatan syarikat pengendali.

“Bagi mereka, keuntungan berkurang sehingga 50% kerana kebanyakan orang bekerja dari rumah, sekolah juga tidak dibuka sepenuhnya dan ramai yang masih takut untuk menggunakan pengangkutan awam.”

Beliau berkata, kebanyakkan syarikat membuat pinjaman daripada syarikat di bawah Akta Pinjaman Wang 1951 bagi membiayai kos pembelian bas.

Ini sekali gus menyebabkan mereka tidak layak mendapatkan moratorium pinjaman dan terpaksa mencari kaedah lain untuk memastikan perniagaan terus bertahan.

Katanya, isu ini telah berkali-kali disuarakan bagi mendapatkan perhatian daripada kerajaan, namun sia-sia dan sehingga kini tiada maklum balas positfif yang diterima.

“Sebahagian operator bas mungkin tidak dapat bertahan sehingga sempadan negeri kembali dibuka.

“Ini benar-benar bergantung kepada berapa lama lagi kawalan sempadan diperketatkan.”

“Kami memberitahu kerajaan bahawa kami memerlukan dana untuk kembali beroperasi. Ini termasuk bagi menampung kos penyelengaraan memandangkan kenderaan ini sudah tidak digunakan bagi tempoh masa yang lama.

“Tetapi sehingga kini, kementerian berkaitan masih membisu.”

Ashfar berkata, beliau percaya sempadan negeri tidak akan kembali dibuka sehingga Julai walaupun menyedari hakikat bahawa keadaan akan kembali seperti waktu prapandemik dalam tempoh sekurang-kurangnya setahun.

Ini kerana orang ramai masih dibayangi kebimbangan untuk menggunakan pengangkutan awam.

Beliau berkata, dianggarkan antara 60-70% pekerja syarikat operator bas adalah daripada golongan B40.

Kebanyakkan mereka telah bertukar haluan kepada memandu Grab, menjual makanan mahupun bekerja di kilang bagi menggantikan sumber pendapatan.

Beliau berharap penderitaan yang ditanggung kini dan untuk beberapa bulan yang akan datang berubah menjadi lebih baik selepas ini.

“Kita tidak boleh tergesa-gesa. Kita terpaksa berdepan dengan kesakitan ini buat sementara waktu bagi membolehkan kita menikmati hasil yang lebih baik untuk jangka masa panjang.

“Kita tidak mahu ulang kembali apa yang terjadi selepas pilihan raya negeri Sabah.”

“Saya berharap selepas ini lebih ramai orang yang akan mendapat suntikan vaksin dan pandemik ini akan dapat dikawal.”