GEORGE TOWN: Sebuah jawatankuasa “Max Unity” telah ditubuhkan bagi mengukuhkan perpaduan kaum dan menyelesaikan isu-isu seperti seperti rumah ibadat yang tidak berdaftar.
Pada sidang media di sini semalam, Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohamed Sadique berkata, jawatankuasa itu dianggotai oleh semua exco kerajaan negeri yang memegang portfolio perpaduan.
Tambah beliau, sebuah jawatankuasa “Harmoni” berasingan, yang dianggotai oleh para pemimpin agama, akan bekerja seiring dengan jawatankuasa “Max Unity”, serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Menurut Halimah, jawatankuasa tersebut akan membantu mendaftarkan rumah-rumah ibadat bukan Islam dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM), selain membantu mendapatkan tanah daripada kerajaan negeri masing-masing.
Halimah menjawab soalan mengenai rumah-rumah ibadat yang dirobohkan oleh majlis tempatan di Kedah kerana dianggap dibina secara haram.
Beliau berkata, kerajaan negeri mempunyai hak tertinggi berkenaan hal-hal tanah.
“Sekiranya (sesuatu pihak) tidak mematuhi peraturan zon tempatan, (kerajaan negeri) berhak mengambil tindakan. Bagaimanapun, pihak yang terkesan boleh bertanya kepada pejabat daerah, menteri besar atau ketua menteri mereka.
“Di Kedah, kerajaan negeri telah menawarkan sebidang tanah alternatif dalam kes kuil Hindu yang dirobohkan berhampiran stesen kereta api Alor Setar,” kata beliau.
Tambah Halimah, melalui jawatankuasa Max Unity, kerajaan akan membantu mereka yang berada dalam keadaan yang sulit, supaya sebarang pertikaian dapat diselesaikan di peringkat negeri masing-masing.
Sementara itu, Halimah juga mengingatkan ahli politik agar berhati-hati ketika membuat kenyataan yang boleh mempengaruhi perpaduan negara.
“Kita memiliki budaya perpaduan yang baik dan syukurlah kita tiada defisit sosial. Jadi, kita tidak sepatutnya mengganggu apa yang kita ada sekarang,” kata beliau.
Terdahulu, Halimah menandatangani perjanjian antara Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia (USM) dan kementeriannya untuk mengembangkan pelan perpaduan untuk negara.
Pelan tersebut termasuk “Indeks Pembangunan Etnik” yang akan dikembangkan oleh USM.