Penularan Covid-19 hampir ke seluruh pelusuk dunia semakin membimbangkan.
Malah peningkatan angka kematian di Iran menunjukkan virus itu semakin sukar dibendung.
Bagi penduduk di China di mana wabak itu mula merebak, kini mengambil pendekatan berbeza ketika bersalam.
Daripada menggunakan tangan seperti kebiasaannya, kini mereka memilih untuk menyentuh kaki.
Video yang tular di laman sosial menunjukkan orang ramai hanya menyentuh kasut masing-masing yang kini dilihat semakin diterima umum.
Menurut laporan Daily Mail UK, menerusi Weibo, laman sosial terkenal negara itu, banyak video dikongsi menunjukkan orang ramai menyapa antara satu sama lain dengan hanya menyentuh kasut.
Dalam perkongsian lain juga, ada pengguna aplikasi itu turut merakam gelagat orang ramai yang menyentuh kasut bagi mengelak daripada berjabat tangan.
“Sekarang kita perlu mendapatkan kasut yang berkualiti. Mereka ini begitu kreatif,” komen warganet yang terhibur dengan trend terbaru sejak Covid-19 mula merebak di negara itu akhir tahun lalu.
Kebiasaannya, masyarakat dunia akan bersalaman sesama mereka ketika bertemu, namun ia kini mungkin tidak diteruskan ketika tempoh penularan wabak Covid-19 yang sudah merebak ke lebih 25 negara.
Wuhan di wilayah Hubei menjadi pusat penularan wabak Covid-19 yang kini mengorbankan ribuan nyawa selain menyebabkan jangkitan puluhan ribu yang lain.
Bagi mengatasi masalah kekurangan lokasi rawatan, China turut membina sebuah hospital di Wuhan dalam tempoh 10 hari yang mampu menampung 10,000 pesakit.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday.com