Najib harus dapat akses semua keterangan berkait 1MDB, kata Ahli Parlimen PKR

Goldman Sachs bersetuju membayar sebanyak USD2.5 bilion kepada kerajaan Malaysia dan memberi jaminan tambahan USD1.4 bilion daripada aset 1MDB yang disita di seluruh dunia. (Reuters pic)

PETALING JAYA: Seorang Ahli Parlimen PKR menggesa Putrajaya meminta kerajaan AS menjawab dakwaan ia menyekat keterangan yang boleh digunakan bekas perdana menteri Najib Razak untuk membela dirinya dalam perbicaraan rasuah 1MDB.

Ahli Parlimen PKR Subang, Wong Chen, berkata seorang defendan sepatutnya mendapat akses kepada keterangan yang dapat membantunya.

“Dalam kes-kes berprofil tinggi seperti perbicaraan rasuah 1MDB, keadilan mesti dilihat ditegakkan secara jujur dan telus,” kata beliau kepada FMT.

Peguam bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng, menuduh pihak berkuasa AS campur tangan dalam perbicaraan Najib dengan menghalang beliau daripada mendapatkan keterangan yang boleh membantu kesnya.

Dalam surat yang dilihat FMT, para peguam berkata, keterangan itu dikatakan menamakan beberapa individu yang terlibat dengan menyalur keluar dana daripada 1MDB dan menerima dana dicuri itu.

Mereka mendakwa kerajaan AS bekerjasama dengan Goldman Sachs untuk secara aktif menahan keterangan yang menunjukkan kemungkinan ada pihak yang membuat aturan rasuah tersendiri menggunakan wang 1MDB.

Kata Wong, rakyat berhak mendapat pendedahan lengkap mengenai skandal 1MDB.

“Setiap watak dan pemboleh skandal 1MDB mesti didedahkan sepenuhnya, dibawa ke muka pengadilan, dan dipertanggungjawabkan,” kata beliau.

Sekiranya dakwaan peguam itu benar, kata beliau, Putrajaya mesti mendapatkan “penjelasan sepenuhnya” daripada kerajaan AS.

Julai lalu, Goldman Sachs bersetuju dengan suatu penyelesaian dengan kerajaan Malaysia, merangkumi pembayaran USD2.5 bilion dan peruntukan yang menyatakan bahawa bank itu menjamin Malaysia akan memperoleh tambahan USD1.4 bilion daripada aset 1MDB yang disita di seluruh dunia.

Wong, yang sebelum ini mendesak ketua audit negara menyiasat penyelesaian kerajaan dengan Goldman Sachs itu, percaya hukuman terhadap bank pelaburan itu atas peranannya dalam skandal tersebut tidak setimpal.

“Hanya denda dan tidak dipenjara. Ini tidak boleh diterima,” kata beliau.

“Memandangkan betapa seriusnya kesalahan tersebut dan berbilion kerugian, paling tidak kerajaan sepatutnya menyenarai hitamkan Goldman Sachs daripada melakukan apa-apa perniagaan di Malaysia dalam tempoh beberapa dekad akan datang.”

Perbicaraan Najib atas 25 tuduhan berkaitan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram sebanyak RM2.6 bilion dalam dana berkaitan 1MDB sedang berjalan.