KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Najib Razak memohon mahkamah memerintahkan kerajaan menyediakan dokumen perbankan milik syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho, dan keluarga Zeti Akhtar Aziz, bekas gabenor Bank Negara.
Najib dalam permohonannya berkata dokumen berkenaan penting untuk membela diri dalam kes 1MDB yang beliau hadapi tetapi kerajaan belum menyediakannya untuk peguam beliau sebelum kes bermula.
Najib akan dibicarakan atas 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang berhubung dana yang dikatakan milik 1MDB berjumlah RM2.28 bilion, yang dimasukkan ke akaun banknya antara Feb 2011 dan Dis 2014.
Antara dokumen yang beliau mahukan adalah penyata akaun bank bagi Aktis Capital Singapore Limited, Country Groups Securities Public Companies, ACME Time Limited (BVI), Butamba Investment Limited, dan Central Holding Limited. Syarikat ini dikaitkan dengan Low.
Akaun bank lain yang beliau mahukan adalah bagi Iron Rhapsody Limited, Cutting Edge Industries Limited, serta Shearman and Sterling LLC.
Selain penyata akaun bank, Najib mahu kerajaan menyediakan dokumen syarikat semua syarikat tersebut.
BERITA LANJUT MENYUSUL