Operasi cari pengarah filem dikhuatiri lemas di Sg Jelai diperluas

Pengarah filem Firdaus Hanif, yang dikenali sebagai Pitt Haniff, hilang selepas bot digunakan terbalik semalam. (Gambar Facebook)

KUANTAN: Operasi mencari dan menyelamat pengarah filem, Firdaus Hanif, 43, yang dikhuatiri lemas di Sungai Jelai, Kuala Lipis semalam, diperluas sehingga 30km dari lokasi mangsa kali terakhir dilihat.

Ketua Polis Daerah Lipis, Supt Azli Mohd Noor berkata operasi dimulakan pada 8 pagi tadi dengan melibatkan 15 bot, selepas dihentikan 7 malam.

“Operasi hari ini disertai 74 individu termasuk anggota dan pegawai daripada polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk setempat.

“Lima anggota daripada pasukan penyelam bomba juga turut serta dalam operasi hari ini,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, mangsa, yang turut dikenali sebagai Pitt Haniff, dilaporkan hilang berhampiran Jambatan Gemunchur di Mela selepas bot fiber dinaikinya bersama rakan untuk memancing terbalik dengan rakannya ditemui selamat.

Azli berkata arus di sungai berkenaan kini dalam keadaan deras dan pencarian bertumpu di permukaan buat masa ini.